Pendidikan ‘Online’ Mimpi Buat Pelajar Miskin Di Semporna, NGO Bantu Bina Sekolah Percuma

Inisiatif Pertubuhan Semporna Prihatin membina sekolah percuma di Kampung Pekan 2, Semporna beri peluang kepada kanak-kanak miskin menuntut ilmu, juga mengelakkan mereka terjebak aktiviti tidak sihat. (Gambar Hassan Unus)

PETALING JAYA: Pendidikan secara dalam talian seperti yang dinikmati kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan tinggi hanyalah mimpi bagi kanak-kanak miskin dan asnaf di Semporna, Sabah.

Malah pendidikan formal juga masih merupakan bebanan buat keluarga terbabit.

Terkesan dengan situasi itu, seorang anak jati Semporna mengambil inisiatif mendirikan sebuah pusat pembelajaran percuma buat kanak-kanak daripada keluarga asnaf, hasil sumbangan orang ramai dan syarikat swasta.

Pengurus Pertubuhan Semporna Prihatin, Hassan Unus berkata, penubuhan pusat pembelajaran percuma yang akan dibuka di Kampung Pekan 2, Semporna bukan sahaja membuka peluang kepada kanak-kanak berkenaan menuntut ilmu, tetapi juga mengelakkan mereka daripada terjebak dalam aktiviti tidak sihat.

“Ada yang pada usia 18 tahun masih tidak pandai membaca. Ramai seperti ini. Ada juga asnaf, yang juga warganegara tidak dapat ke sekolah kerana tidak ada wang. Kanak-kanak ini terpaksa membantu keluarga dengan menjadi nelayan bagi mencari sumber pendapatan tambahan,” katanya kepada FMT.

Hassan memaklumkan jumlah anak-anak yang tidak dapat pendidikan ini “agak ramai”.

“Apabila mereka semakin membesar, ia akan menjadi masalah kepada masyarakat. Pertamanya, kami bimbang mereka akan terjebak dalam penagihan dadah dan macam-macam gejala sosial.”

Kerja pembersihan tanah milik individu bagi pembinaan sekolah untuk 300 pelajar dalam lingkungan usia 7 hingga 15 tahun, yang bakal dibuka lewat Januari. (Gambar Hassan Unus)

Isu kanak-kanak tidak bersekolah di daerah Semporna bukanlah perkara baru, sebaliknya isu lama yang sehingga kini tidak menemui penghujungnya, walaupun beberapa usaha sudah dilakukan oleh Putrajaya dan kerajaan Sabah sebelum ini.

Hassan berkata, pusat pembelajaran Al-Huda yang dibina atas tanah milik individu itu boleh memuatkan 300 pelajar dalam lingkungan usia 7 hingga 15 tahun dalam dua sesi persekolahan, iaitu pagi dan petang.

“Kita akan ajar Al-Quran dan Iqra’ dahulu. Apabila sudah dapat buku, kita boleh buat pendidikan lain seperti Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA). Buat masa ini kita tidak ada duit lagi hendak beli buku-buku ini. Kita mahu anak-anak ini pandai membaca, kenal agama dan jadi orang baik.”

Menurut Hassan, Majlis Keselamatan Negara ada membuat projek persekolahan dengan bayaran RM30 sebulan, dan ada juga projek pendidikan “bawah rumah” dengan bayaran 50 sen sehari.

“Tetapi masih ada antara pelajar ini tidak mampu, sebab itu kita buat sekolah percuma,” katanya.

Hassan sendiri terkejut dengan situasi kanak-kanak daripada keluarga miskin di Semporna, yang berada dalam keadaan yang tidak kondusif untuk menuntut ilmu, hatta sewaktu negara sedang melangkah ke era Revolusi Industri 4.0.

Katanya, kesedaran untuk membantu kanak-kanak miskin di Semporna bermula apabila beliau turun ke kawasan perkampungan di daerah itu ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) Mac lalu.

“Bila PKP, ramai orang terjejas. Sebab itu turun membantu keluarga yang terkesan. Dari situ barulah kita nampak Semporna, ramai betul orang yang susah. Susah mereka bukan susah biasa, tetapi susah yang sangat kritikal,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa kanak-kanak terbabit sendiri tidak menggalakkan anak-anak ke sekolah. Sebaliknya mereka lebih selesa meminta anak-anak membantu urusan pekerjaan bagi menambah sumber rezeki.

Hassan berkata, pusat pembelajaran itu bagaimanapun belum beroperasi dan menjangka ia akan dibuka pada 21 Jan depan.

Katanya, ia masih memerlukan peralatan asas seperti meja dan kerusi, lampu dan kipas serta bekalan elektrik.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jika anda mahu membantu, mesej kami di Whatsapp FMT Helpline @ 0193899839. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

995