Shafie Layak Pimpin Gabungan Besar Pembangkang – Penganalisis

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilihat sebagai calon berkelayakan mengetuai gabungan besar baharu parti pembangkang.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata bekas Ketua Menteri Sabah itu memiliki kriteria untuk memimpin gabungan terbabit jika semua parti pembangkang berhasrat mengadakan kerjasama baharu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, amat penting gabungan pembangkang memiliki pemimpin yang mempunyai banyak pengalaman mentadbir berbanding mereka yang hanya pandai berkata-kata dan retorik semata-mata.

“Saya melihat Mohd Shafie sebagai individu yang boleh memimpin gabungan besar parti pembangkang pada pilihan raya umum akan datang kerana beliau memiliki pengalaman yang banyak di peringkat persekutuan mahupun negeri.

“Jika kita imbau ketika krisis jawatan Perdana Menteri pada awal tahun ini, (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) sendiri menamakan Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri jika pembangkang berjaya mendapat majoriti untuk menubuhkan kerajaan

“Jika gabungan besar baharu pembangkang itu sekadar memilih pemimpin yang kaki retorik, gabungan itu berkemungkinan besar akan menjadi seperti kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Mohd Izani yang juga Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) bagaimanapun tidak menafikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih memiliki sokongan untuk memimpin gabungan pembangkang.

Katanya, apa yang menjadi persoalan ketika ini adalah siapa yang akan menggantikan posisi pemimpin utama gabungan pembangkang selepas Anwar.

“Pemilihan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen sebagai contoh, kebiasaannya dipilih dalam kalangan parti yang memiliki kerusi paling banyak.

“Sebab itu saya katakan, selepas Anwar, DAP dilihat memiliki calon yang sesuai sebagai ketua gabungan pembangkang namun senario politik di Malaysia berbeza kerana sentimen Melayu itu masih menebal,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Teknologi dan Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Datuk Prof Dr Ismail Sualman, berkata pemilihan siapa yang akan memimpin gabungan itu tidak menjadi perkara utama ketika ini kerana parti pembangkang harus bersetuju terlebih dahulu untuk menjadi satu gabungan besar.

Katanya, jika gabungan besar itu berjaya dibentuk, siapa pemimpin yang akan dipilih boleh dibincangkan dan dicalonkan dalam Majlis Presiden.

“Politik Malaysia ini bersifat dinamik sebab tiada lagi istilah ‘totok’ dengan pegangan dan parti. Hari ini berseteru, esok boleh menjadi rakan.

“Jika dilihat di atas kertas, Mohd Shafie adalah calon yang layak untuk memimpin gabungan baharu pembangkang itu. Namun, jika beliau gagal membawa perubahan kepada gabungan itu pada PRU akan datang, beliau juga akan ditolak,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanahair, Datuk Wira Marzuki Yahya dan Mohd Shafie menyarankan supaya parti pembangkang membentuk gabungan besar (grand coalition).

Menurut mereka, kerjasama itu penting untuk menghadapi PRU-15 yang mungkin diadakan pada bila-bila masa. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2749