Lebar Sayap Ke Semenanjung Buka Peluang Dr M Sertai WARISAN, Kata Penganalisis

KOTA KINABALU: Penganalisis berkata, pengumuman Warisan melebarkan sayapnya ke Semenanjung dilihat sebagai cara untuk Dr Mahathir Mohamad mendapatkan platform politik, jika bekas perdana menteri itu gagal mendaftarkan parti barunya, Pejuang.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya mendapati Pejuang sukar didaftarkan dan Mahathir mungkin memilih menyertai parti yang berpangkalan di Sabah itu.

Katanya, Presiden Warisan, Shafie Apdal mengkritik kepimpinan Pakatan Harapan gagal menetapkan hala tuju, tetapi hanya Mahathir yang dijunjung dan tidak dikritiknya.

“Ia boleh jadi batu loncatan kepada Warisan yang langsung tidak dikenali di Semenanjung, malah hanya dipimpin oleh orang Sabah saja.

“Ini juga dilihat sebagai langkah membuka peluang kepada Mahathir menyertai Warisan, jika Pejuang masih gagal didaftarkan sebagai parti,” katanya kepada FMT.

Sabtu lalu, Shafie dalam perhimpunan agung tahunan Warisan memberi amaran kepada PH akan kalah pada PRU15, jika barisan kepimpinannya dikekalkan.

Katanya, Warisan sebulat suara meluluskan usul melebarkan sayap ke Semenanjung, bermula dengan cawangan dan bahagian di Johor serta Selangor, yang mempunyai ramai orang Sabah.

Bagaimanapun, Awang Azman berkata, Warisan yang merupakan parti baru akan berdepan kesukaran bersaing dengan parti seperti PKR, Umno dan DAP di peringkat nasional kerana kepimpinannya belum terbukti lagi.

“Warisan sendiri gagal di Sabah, apabila kerajaan negeri yang dipimpin mereka tumbang, jawatan KM (ketua menteri) dipegang Shafie hilang dan banyak kerusi Warisan jatuh ke tangan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) dan BN (Barisan Nasional).

“Jika Warisan tidak terus fokus di Sabah dan mahu kejar kuasa serta mencari pengaruh di Semenanjung, mereka perlu pastikan tidak berlaku situasi yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

“Warisan masih dianggap parti negeri dan bukan nasional, langkah memasuki peringkat nasional sangat mencabar kerana PKR, UMNO dan DAP telah bertapak di Semenanjung sejak berpuluh tahun, sedangkan mereka baru berusia dua tahun.”

Beliau berkata, tindakan Warisan tidak menghadiri sesi undian peruntukan kementerian di peringkat jawatankuasa dianggap bertentangan pendirian PH.

Katanya, ia juga akan menyebabkan rakyat di Semenanjung lebih berhati-hati menerima kehadirannya yang tiada rekod pencapaian di Semenanjung.

“Di Semenanjung, taburan penduduk Sabah tidak berkelompok, jadi untuk harapkan mereka menjadi pengundi Warisan sangat sedikit jumlahnya dan tindakan politik parokial saja.

“Sepatutnya Shafie fokus kepada orang Melayu, Cina dan India di Semenanjung dan tidak hanya bercerita mengenai pengundi Sabah di Semenanjung yang sangat minima. Ini untuk elak politik parokial.

“Selain itu, struktur organisasi Warisan juga perlu diubah, iaitu sekurang-kurangnya 50% pimpinan parti daripada Semenanjung dan jika ini dilakukan, ia berpeluang untuk pemimpin Pejuang berada dalam struktur politik baru ini.”

Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, identiti Warisan bakal terkesan, jika parti itu melebarkan sayapnya ke Semenanjung.

Katanya, Warisan terkenal sebagai sebuah parti tempatan Sabah seperti dilaungkan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan pilihan raya negeri lalu.

“Langkah ini (melebarkan sayap ke Semenanjung) akan mengubah identiti Warisan sebagai sebuah parti tempatan Sabah yang dilaung-laungkan mereka selama ini.

“Sejak penubuhannya, identiti sebagai parti tempatan itu menjadi kekuatan Warisan sehinggakan DAP pada PRN lalu sanggup menggunakan logo Warisan untuk mendapatkan sokongan.”

Bagaimanapun, katanya, cadangan Warisan itu perlu disambut baik kerana Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang dipimpin Jeffrey Kitingan turut membuat langkah sama baru-baru ini.

“Kita sedia maklum baru-baru ini STAR pun melebarkan sayap mereka ke Semenanjung dengan pelantikan Iskandar Abdul Malik sebagai pengerusi parti itu di Semenanjung.

“Jadi, kita perlu menerima baik langkah Warisan kerana tidak adil pandangan daripada sesetengah pihak yang menerima baik langkah STAR, tetapi memandang serong langkah sama daripada Warisan.

“Cuma mungkin yang perlu diperjelaskan apakah langkah Warisan ini untuk memberi ruang atau peluang kepada rakyat Sabah yang berada di Semenanjung menyertai parti itu atau mempunyai matlamat lain?” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3223