Mayat Ditemui Tersangkut, Disahkan Mangsa Hanyut Di Sungai Padas

Mayat mangsa ditemui tersangkut di sebatang pokok kecil di Sg Padas Kg Melugus Beaufort.

BEAUFORT: Polis mengesahkan identiti mayat seorang lelaki yang ditemukan di Sg Padas Kg Melugus di sini, pada petang Sabtu, sudah dikenalpasti oleh waris keluarga mangsa.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superitendan Azmir A Razak berkata mangsa dikenali sebagai Andreanus Ola Kian yang dilapor hanyut dan hilang oleh keluarganya.

“Ahli keluarganya sudah membuat pengecaman mayat dan mengesahkan identiti mangsa yang sebelum ini dikatakan hanyut di Sg Padas Kg Bingkul sehari sebelum ditemui.

“Mayat mangsa dibawa dan disimpan di Bahagian Forensik Hospital Beaufort untuk tujuan bedah siasat,” katanya, menerusi kenyataan medianya di sini.

Azmir berkata laporan penemuan mangsa dilaporkan kira-kira jam 4.45 petang daripada orang awam yang mengatakan ternampak satu mayat dalam keadaan terapung di sungai.

Berikutan itu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari pos kawalan tempat kejadian di Kg Bingkul digerakkan ke kawasan sungai yang menjadi lokasi mayat terbabit ditemui.

“Tim SAR berkenaan dibarisi oleh gabungan pasukan dari Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan di sungai terbabit mendapati mayat itu tersangkut di sebatang pokok kecil sebelum tim SAR bertindak menaikkannya ke darat.

Mengulas lanjut, beliau berkata penemuan mayat mangsa itu sekaligus membawa kepada perubahan status klasifikasi kesnya sebagai kes kematian mengejut daripada orang hilang. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *