Kes Tinggi Covid-19 Sabah Berpunca Saringan 12 Kluster

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan kes baharu agak tinggi hari ini iaitu 333 kes, kebanyakannya berpunca daripada saringan ke atas 12 kluster sedia ada, yang merekodkan 166 kes iaitu hampir 50% daripada jumlah kes baharu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun yang juga jurucakap rasmi Covid-19 kerajaan negeri berkata, kluster yang merekodkan jumlah tertinggi ialah Rumah Merah yang mencatatkan 78 kes baharu hari ini.

“Selain itu, 104 kes baharu adalah daripada saringan kontak rapat di 13 daerah, saringan bergejala 42 kes, saringan komuniti dua kes, manakala selebihnya adalah dalam lain-lain kategori,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, kebelakangan ini, didapati semakin banyak kluster yang terbentuk daripada penganjuran majlis sosial yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, termasuk majlis sosial melibatkan kaum keluarga, majlis keraian dan upacara keagamaan.

“Aktiviti majlis sosial tanpa mematuhi SOP akan meningkatkan risiko penularan Covid-19. Justeru, penting bagi kita sentiasa berwaspada dan berusaha melindungi diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat di sekeliling daripada mendapat jangkitan,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata Sabah kini mempunyai 6,595 katil untuk merawat pesakit Covid-19 dengan 28.87% sedang digunakan dan daripada jumlah itu, 1,029 katil adalah di hospital manakala selebihnya di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC). – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *