Bung Nafi Tandatangan SD Sokong Anwar

Bung Moktar

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin sekali lagi menafikan dakwaan terbaharu mendakwa beliau adalah antara 10 Ahli Parlimen Umno yang mengemukakan akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu, menegaskan bukan sesuatu yang mudah bagi seseorang pemimpin politik untuk mendapatkan sokongan dalam bentuk SD berhubung pembentukan kerajaan.

“Perkara untuk mendapatkan SD bukan mudah sebab ia akan menentukan kerajaan sesebuah negara.

“Soal nama saya dikaitkan itu, saya tidak tahu. Saya sudah buat kenyataan bulan lalu yang saya tidak pernah beri sokongan kepada mana-mana pihak.

“Yang penting kita secara individu tidak pernah menyokong mana-mana pihak termasuk Anwar untuk jadi ketua kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, dakwaan yang mengaitkan namanya adalah spekulasi pihak tidak bertanggungjawab.

“Mungkin pihak tertentu sengaja mahu buat spekulasi. Saya berasa banyak lagi kerja lain untuk saya buat khususnya menumpukan kepada masalah rakyat,” katanya.

Berikutan itu, Bung Moktar meminta isu yang tidak membawa kebaikan perlu dihentikan segera kerana ia mengelirukan rakyat.

“Walaupun negara kita adalah negara demokrasi dan media sosial bebas untuk disalah guna, hentikan perkara tidak baik yang mengelirukan rakyat.

“Jika benar pihak yang mendakwa itu cukup majoriti, bawa SD itu dan persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Tidak perlu buat kenyataan.

“Sesiapa yang ada keyakinan diri, bawa dan menghadap baginda. Jangan pula buat permohonan menghadap dengan tangan kosong,” katanya.

Semalam, Anwar dikatakan sekali lagi cuba meyakinkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa beliau mempunyai bilangan sokongan yang mencukupi dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu dikatakan sudah mempunyai 113 sokongan dalam bentuk SD bagi mengambil alih kerajaan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1755