Gadis Sabah Ini Rangkul Gelaran Pelatih Kuda Pacuan Termuda Dalam Sejarah Dunia

Isabelle Lonjuing Sayeed berlatih bersama sebahagian kuda pacuan miliknya di Royal Sabah Turf Club (RSTC), Tuaran.

TUARAN: Seorang remaja perempuan kelahiran Sabah berjaya menempatkan dirinya di persada global apabila merangkul gelaran pelatih kuda pacuan termuda dalam sejarah dunia.

Seawal usia lima tahun, Isabelle Lonjuing Sayeed diberi peluang menunggang kuda bersama datuknya dan dilatih untuk mengejar impian menjadi pelatih kuda pacuan.

Siapa menyangka usianya yang kini 13 tahun, diberi lesen oleh Royal Sabah Turf Club (RSTC) untuk meneruskan latihan, sekali gus menjadi penunggang kuda termuda di dunia.

Isabelle Lonjuing Sayeed berlatih bersama sebahagian kuda pacuan miliknya di Royal Sabah Turf Club (RSTC), Tuaran.

Ia juga melepasi catatan rekod Bailey Rogerson dari New Zealand yang memulakan latihan pada usia 16 tahun.

Isabelle yang berasal dari Penampang, Sabah berkata, dia menerima lesen sebagai pelatih profesional dan ‘Stable Agent’ pada 26 November lalu.

“Saya mula menunggang kuda di Glenora Stables di Kinarut ketika berusia lima tahun di bawah bimbingan datuk saya dan pelatih, Susan Doughlas serta anak perempuannya, Claire Mosun.

“Pada awal tahun ini pula, saya belajar di Kuala Lumpur Academy Of Polo bersama Peter Abisheganaden iaitu mentor saya,” katanya di RSTC, Tuaran.

Menurutnya, sebaik mengumpul pengalaman menjadi pemain polo di bawah Persatuan Polo Sabah, dia turut diberi kepercayaan menjadi kapten pasukan polo wanita pertama di Sabah, El Venato Polo Team yang diasaskannya sendiri.

Isabelle Lonjuing Sayeed berpeluang menunggang kuda seawal usia lima tahun.

“Saya sedar jalannya tidak mudah, tetapi dengan sokongan ahli keluarga, saya bersedia menghadapi cabaran yang akan datang,” katanya.

Sementara itu, jurulatihnya, Susan memaklumkan Isabelle dilatih menerusi kursus intensif pada setiap aspek pengurusan kuda termasuk kuda stabil dan latihan berkuda sebelum menyertai ujian lesen pelatih RSTC.

“Selain memiliki ILS Stable Horse, Isabelle juga diiktiraf sebagai pemula perlumbaan, penguji halangan dan pakar pemakanan di mana ia adalah cabaran tinggi sebagai pelatih kuda pacuan termuda di dunia,” katanya.

Difahamkan, Pengarah Perlumbaan RSTC, John Gorton adalah penguji yang mengeluarkan lesen kepada Isabelle.

Beliau yang berasal dari Afrika Selatan juga adalah pelumba kuda yang berpengalaman dan menjadi joki teratas di United Kingdom sebelum kembali berlatih di Afrika Selatan dan Australia selain muncul sebagai pelopor perlumbaan di Mongolia serta China.

Pada masa sama, Isabelle dijadualkan meneruskan latihan dengan juara pelatih Amerika Syarikat, Bob Baffert di negara itu pada musim panas hadapan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

20237