75,789 Orang Pekerja Asing Di Sabah Akan Jalani Swab Test Covid-19

KOTA KINABALU: Saringan bersasar Covid-19 ke atas pekerja warga asing di Sabah akan melibatkan seramai 75,789 orang.

Ia melibatkan pekerja warga asing yang berdaftar di bawah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) setakat 24 Nov bagi sektor pertanian, pembinaan, pembuatan, perkhidmatan, perkilangan, perladangan dan pembantu rumah.

Saringan Antigen Rapid Test Kid (RTK-antigen) bagi pekerja warga asing ini akan dijalankan bermula hari ini secara berperingkat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, Sabah antara enam negeri yang dipilih bagi melaksana ujian RTK-antigen ke atas pekerja asing.

Bagaimanapun, pelaksanaan saringan di Sabah masih dalam perbincangan di peringkat negeri.

“Saringan ini melibatkan kumpulan sasar yang agak ramai maka, kita perlu melihat kepada persediaan dan kemampuan kapasiti kita untuk menjalankan ujian.

“Isu ini masih dalam perbincangan kerana kita mahu apabila ia dimulakan, ia dapat dilaksana secara efisien,” katanya bagi mengulas mengenai keperluan menjalankan saringan RTK-antigen ke atas pekerja warga asing di Sabah.

Beliau berkata demikian semasa sidang media perkembangan semasa Covid-19 negeri Sabah, di sini semalam.

Masidi berkata, jika ikut jadual saringan ini bermula hari ini (1 Dis) tapi, kerajaan negeri kena fikirkan isu-isu yang perlu dibincangkan supaya pelaksanaannya dilakukan dengan baik dan efisien.

Pada 27 Nov, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan saringan Covid-19 menggunakan kaedah RTK-antigen ke atas pekerja warga asing akan dilakukan bermula 1 Dis.

Peringkat awal program ini menumpukan kepada enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Labuan.

Kos perkhidmatan klinik atau hospital perlu dibayar oleh majikan sementara, kos kit ujian sebanyak RM60 akan ditanggung Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk ujian kali pertama sahaja. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1040