Covid-19: Telupid, Nabawan Kini Jadi Zon Hijau

KOTA KINABALU: Kepatuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah menyaksikan dua daerah kini dikategorikan sebagai zon hijau.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun, ini merupakan perkembangan yang baik untuk negeri itu biarpun masih terdapat kluster-kluster aktif yang menyumbang kepada peningkatan kes.

Masidi Manjun

“Daerah Telupid bertukar daripada zon kuning ke zon hijau dan diletakkan bersama daerah Nabawan yang telah berada di zon hijau sejak minggu lalu.

“Perkembangan yang baik ini adalah hasil pematuhan penduduk terhadap SOP PKPB yang kini dicatatkan pada 97.88 peratus.

“Bagaimanapun kes di daerah-daerah zon merah masih menyaksikan peningkatan susulan pertambahan kes melibatkan kluster-kluster sedia ada,” katanya dalam sidang media secara maya di Kota Kinabalu pada Khamis.

Katanya, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada Khamis adalah sebanyak 326 kes, peningkatan sebanyak 33 kes berbanding Rabu iaitu sebanyak 293 kes.Jelas Masidi, peningkatan disumbang pertambahan kes melibatkan 13 kluster sedia ada.

“Peningkatan ini berpunca daripada kes baharu membabitkan beberapa kluster dan setakat 26 November, sebanyak 84 kluster telah didaftarkan di Sabah.

“Daripada jumlah ini, 63 kluster masih aktif, manakala 21 kluster telah tamat dan 13 kluster mencatatkan pertambahan kes baharu pada hari ini iaitu sebanyak 61 kes secara keseluruhannya,” katanya.

Sebanyak tiga kes kematian dicatatkan pada Khamis masing-masing satu kes di Sandakan, Kota Kinabalu dan Tawau.

Dua kluster baharu turut direkodkan di Tawau iaitu Kluster Blok 31 membabitkan lapan kes yang dikesan berkaitan dengan majlis makan malam.

Kluster Bot Biru pula merekodkan sebanyak enam kes yang dikesan berkaitan dengan kuarters Polis Marin. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *