Pelajar Jatuh Jambatan Gantung, Tiga Menara Telekomunikasi Akan Dibina Berhampiran Kampung Gusi

PUTRAJAYA, 29 Nov : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan penyelesaian sementara dengan menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada Kampung Gusi, Ranau, Sabah melalui teknologi ‘Very Small Aperture Terminal’ (VSAT).

Dalam satu kenyataan hari ini MCMC menyatakan usaha itu telah mendapat sokongan daripada pihak Common Tower Technologies Sdn Bhd (CTT) sebuah anak syarikat milik penuh Warisan Harta Sabah Sdn Bhd, yang juga merupakan usaha tanggungjawab sosial korporat daripada pihak CTT.

Menurut kenyataan itu, MCMC amat bersimpati atas situasi yang menimpa tiga orang pelajar yang dilaporkan terjatuh, ketika menyusuri jambatan gantung untuk mendapatkan rangkaian internet bagi mengikuti kelas dalam talian di kampung tersebut baru-baru ini.

Kenyataan itu menyebut, Pengurus Besar CTT Law Chun Ming mengesahkan pemasangan VSAT tersebut akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada 15 Dis.

“Selain itu, tiga menara telekomunikasi akan dibina berhampiran Kampung Gusi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Lokasi-lokasi tersebut telah dinyatakan di dalam dokumen tender yang dikeluarkan oleh MCMC pada 20 November,” menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu turut menasihatkan para pelajar untuk tidak membahayakan diri, dalam usaha mencari capaian internet. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *