Gagal Laksana Tugas, PPM Boleh Dikenan Tindakan – Hajiji

KOTA KINABALU: Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) diingatkan agar melaksana tugas dan tanggungjawab dengan penuh ingeriti bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, PPM di bawah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang gagal melaksana tugas dengan baik akan dikenakan tindakan.

“Jika didapati ada PPM yang gagal melaksana tugas dan tanggungjawab diamanahkan, saya selaku Ketua Menteri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah 44 PPM, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini hari ini.

Beliau berkata, lantikan PPM ini akan membantu kerajaan dalam memenuhi aspirasi rakyat yang telah memilih kerajaan.

Katanya, PPM yang efisien merupakan asas yang kukuh di peringkat akar umbi yang akan membantu mewujudkan sebuah kerajaan yang kukuh.

Hajiji berkata, lantikan PPM ini akan membuka ruang kepada pelantikan pemimpin peringkat akar umbi lain seperti Ketua Pembangunan Masyarakat dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Disamping itu, beliau turut mengingatkan PPM bahawa kerajaan hari ini berdepan cabaran memerangi pandemik Covid-19. Maka, usaha melaksanakan aktiviti pemulihan ekonomi terpaksa ditangguhkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Saya harap apabila pandemik ini berakhir di Sabah, kita dapat memulihkan semula ekonomi Sabah,” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis lantikan itu barisan pembantu menteri dan Pengarah UPPM, Datuk Matbali Musah. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3571