WARISAN Tolak Dakwaan Peguam Besar Sabah Dibayar RM60,000 Sebulan

Jaujan Sambakong (kiri) berkata, tidak adil cuba memburuk-burukkan Brenndan Soh dengan mendakwa beliau menerima gaji terlalu besar untuk menyingkirkannya daripada jawatan peguam besar Sabah.

PETALING JAYA: Naib Presiden Warisan, Jaujan Sambakong menolak dakwaan keterlaluan blogger yang Peguam Besar Sabah, Brenndon Soh dibayar RM60,000 sebulan.

Beliau berkata, gaji Soh setara dengan grade Utama Turus II dan VU3 dalam perkhidmatan awam Sabah.

Katanya, kontrak ditawarkan kepada Soh juga sama dengan yang ditandatangani 3 bekas peguam besar negeri dilantik daripada firma swasta.

“Soh ialah peguam disegani yang mengorbankan gaji lumayan dalam firma swasta untuk berkhidmat kepada kerajaan negeri dengan gaji jauh lebih rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah Soh pernah menjadi presiden Persatuan Undang-undang Sabah selama 2 penggal.

“Tidak adil untuk cuba memburuk-burukkan beliau dengan dakwaan tidak berasas beliau menerima gaji terlalu besar demi menyingkirkannya daripada jawatan itu.”

Jaujan turut menyelar satu lagi dakwaan yang kerajaan membayar kos guaman RM3 juta kepada peguam terkenal, Cyrus Das untuk mewakili bekas ketua menteri, Shafie Apdal di Mahkamah Rayuan dalam kes pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Beliau menggesa rakyat supaya bijak menilai dan tidak dikelirukan blogger mesra Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Ini satu lagi dakwaan tidak masuk akal blogger pro-GRS kerana Das dibayar berdasarkan yuran profesionalnya untuk prosiding di mahkamah.

“Dakwaan RM3 juta itu sama sekali jauh daripada bayarannya,” katanya sambil menambah ia tidak profesional untuk mendedahkan jumlah bayaran sebenar. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2006