CEO ESSCom Adakan Kunjugan Hormat Ke Atas Presiden MPT

 Jamaluddin (duduk) menandatangani buku pelawat MPT.

TAWAU : Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Eastern Sabah Security Command (ESSCom) Dr. Jamaluddin Mohd Ali melakukan kunjungan hormat terhadap Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk Omar Mammah di pejabatnya, di sini.

Kunjungan yang diadakan pada jam 2 petang itu berlangsung selama 30 minit sempena lawatan kerjanya ke daerah ini sejak Isnin lalu.

Dr. Jamaluddin berkata lawatan itu membincangkan pelbagai isu-isu yang berkaitan keselamatan termasuk mendapatkan pandangan bagi memantapkan kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

“Kita mahu mendapatkan pandangan daripada Presiden MPT selaku mantan Pesuruhjaya Polis Sabah mengenai isu-isu keselamatan yang perlu diambil perhatian oleh ESSCom,”katanya.

Beliau berkata, pihak ESSCom juga mendapat laporan berkaitan salah laku dan pelanggaran undang-undang seperti aktiviti bom ikan yang dilakukan oleh komuniti Baju Laut yang berada di perairan negara.

“Bahkan pasukan keselamatan juga berdepan masalah penyeludupan barang kawalan bersubsidi, kemasukan pendatang tanpa izin (PTI) dan pengedaran dadah melalui laluan tikus.

“Isu pondohan (penempatan atas air) yang biasanya dijadikan staging point oleh penjenayah rentas sempadan serta isu sampah sarap juga perlu ditangani dengan bijak,”katanya.

Menurutnya, ESSCom sentiasa menerima pandangan dan saranan yang membina supaya kawalan keselamatan terutamanya di sempadan serta di perairan negara dapat dijaga dengan baik.

“Masyarakat awam juga perlu memberi kerjasama menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam melaporkan setiap jenayah yang dilakukan di tempat mereka,”katanya.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Tindakan Awam ESSCom Mohd Aziz Marinsah. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost