Polis Tumpaskan Kumpulan Warga Asing Aktif Pecah Rumah Di Sekitar Tawau

Antara barang-barang curi yang berjaya dirampas dalam Ops Pintu. 

TAWAU : Polis berjaya menumpaskan sekumpulan lapan lelaki warga asing yang aktif melakukan jenayah pecah rumah di daerah Tawau dalam Ops Pintu baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, tangkapan dibuat di tiga lokasi berasingan iaitu di kawasan Fajar, Lorong pasaraya 1 dan jalan pasaraya 2.

Peter berkata, dengan penangkapan itu juga, pihaknya berjaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah, premis dan rumah ibadat yang berlaku di sekitar daerah Tawau dalam tahun ini.

“Tangkapan dibuat bermula 3 November lalu hingga kelmarin membabitkan lapan lelaki warga asing berumur lingkungan 19 hingga 36 tahun.

“Hasil siasatan yang dilakukan, pihak polis berjaya merampas pelbagai barangan rumah dan telefon bimbit disyaki dicuri yang dianggarkan kira-kira RM35,000,”katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Menurut Peter, modus operandi yang digunakan oleh suspek terbabit adalah dengan cara mengumpil pintu, tingkap dan bumbung untuk masuk ke dalam premis.

“Pemeriksaan rekod jenayah lampau mendapati beberapa suspek sebelum ini pernah terlibat dengan beberapa kes jenayah pecah rumah dan curi serta penglibatan dalam penyalahgunaan dadah,”katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih memburu beberapa lagi rakan sejenayah suspek dipercayai masih bebas dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu pihak polis.

Terdahulu, statistik Jenayah Indeks Kes Pecah Rumah Curi (PRC) pada tahun 2020 menunjukkan penurunan sebanyak 18 peratus berbanding tahun 2019 bagi tempoh yang sama.

Bagaimanapun, jumlah kes PRC bagi tempoh Julai 2020 sehingga Oktober 2020 kembali menunjukkan trend peningkatan iaitu sebanyak 56 kes sepanjang tempoh tersebut. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2524