Lebih 545,000 Peniaga Mikro Terima Peruntukan RM1.63 Bilion Geran Khas Prihatin

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bagi GKP 2.0 pula, permohonan yang diterima sehingga 31 Oktober lepas pula sudah mencecah 512,000


KUALA LUMPUR:
 Lebih 545,000 peniaga mikro di seluruh negara sudah menerima manfaat Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM3,000 secara one-off dengan peruntukan sebanyak RM1.63 bilion.

Jelas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bagi GKP 2.0 pula, permohonan yang diterima sehingga 31 Oktober lepas pula sudah mencecah 512,000.

“Bagi memastikan PKS mikro yang benar-benar layak menerima bantuan ini demi kelangsungan perniagaan mereka, setiap permohonan akan disemak silang atau verifikasi dengan data agensi yang ditetapkan Kerajaan, termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan.

“Berdasarkan jangkaan awal, bilangan yang akan diluluskan jauh melebihi daripada sasaran awal yang ditetapkan iaitu 200,000 PKS mikro,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong di Dewan Rakyat pada Rabu.

Pemohon boleh menyemak status bermula 27 November dan tarikh pembayaran pula dijangka pada 30 November depan.

Zafrul turut menjelaskan, antara kegagalan permohonan adalah disebabkan tidak memegang lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan bilangan pekerja melebihi lima orang.

Geran Khas Prihatin (GKP) akan diberikan kepada PKS Mikro yang berkelayakan dengan tujuan bagi meringankan beban kewangan perniagaan dihadapi ekoran COVID-19 serta meningkatkan produktiviti perkhidmatan demi kelangsungan perniagaan. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1857