Covid-19: Kluster Penjara Punca Kes Di Sandakan Meningkat Kepada 316

KOTA KINABALU: Kluster Penjara Sandakan menyumbang kepada peningkatan kes di daerah itu pada hari ini, dengan 316 kes positif dilaporkan.

Kes positif dari kluster Penjara Sandakan adalah sebanyak 218 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 660 kes positif baharu dilaporkan hari ini di 17 daerah di Sabah.

Daripada jumlah itu, sebanyak 105 kes dilaporkan di Lahad Datu, Kota Kinabalu (95), Tawau (45), Penampang (37), Tuaran (20), Semporna (8), Putatan (7), Papar (6), Kudat (5), Beluran (5), Pitas (3) dan dua kes masing-masing di Kunak dan Keningau.

Sementara satu kes di Kuala Penyu, Kota Marudu dan Tenom.

Daerah Tenom bertukar dari zon hijau kepada zon kuning apabila ada satu kes baharu dilaporkan hari ini.

Hari ini, dua lagi kematian dilaporkan iaitu satu kes di Sandakan dan satu kematian di Lahad Datu. Dengan itu, keseluruhan kes kematian di Sabah sehingga kini adalah sebanyak 183 kes. Sementara, sebanyak 419 kes pulih dilaporkan.

Setakat ini, sebanyak 24,929 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah, dengan 2,202 kes aktif yang sedang menerima rawatan dimana, 646 orang dirawat di hospital dan 1,566 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Terdapat 74 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 15 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, kapasiti katil Covid-19 di seluruh Sabah ketika ini adalah 6,478 katil dengan peratusan penggunaan 33.99 peratus. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *