IMM13 Kekal Dokumen Tunggal Ganti Sijil Banci Dan Burung-Burung

Madius Tangau

KUALA LUMPUR: Pemberian IMM13 selaku dokumen tunggal bagi pelarian Filipina di Sabah akan dilaksanakan secara berperingkat kepada pemegang Sijil Bancian dan Sijil Burung-burung.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Bin Md. Yusof berkata, ia seperti mana yang dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Panglima Hamzah pada 14 Jun 2020.

“Sehingga 2016 Seramai 136,055 orang pelarian Filipina direkodkan berada di negeri Sabah berdasarkan hasil semakan silang yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah, Jabatan Imigresen Negeri Sabah dan Jabatan Ketua Menteri Sabah.

“Daripada jumlah tersebut, Kerajaan mengklasifikasikan pelarian tersebut kepada 3 kategori iaitu pemegang pas IMM13 sebanyak 51,645 orang; Pemegang Sijil Bancian Pasukan Petugas Khas Persekutuan Sabah/Labuan (pelarian tanpa pas IMM13) dengan 47,518 orang; dan 36,892 orang Pemegang Sijil Burung-Burung (pelarian tanpa pas IMM13),” katanya.

Mohd Redzuan berkata demikian dalam jawapan bertulis terhadap soalan lisan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran), dalam persidangan Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Dalam soalannya Madius meminta Perdana Menteri menyatakan berapa bilangan pelarian perang Filipina yang berada di Sabah pada ketika ini dan sampai bilakah mereka dibenarkan tinggal di Sabah.

Redzuan memaklumkan, Pemegang IMM13 perlu memperbaharui dokumen setiap tahun untuk memastikan mereka sah berada di negeri Sabah.

“Bagi pemegang IMM13 yang tamat tempoh atau melakukankesalahan jenayah, mereka akan diusir serta disenaraihitamkan,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4676