
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datin Manis Muka Mohd Darah, 65, yang meninggal dunia di Hospital Gleneagles, hari ini.
“Saya bersama isteri dan keluarga serta seluruh ahli parti khususnya penggerak awal parti mengucapkan salam takziah kepada suami, anak-anak dan keluarga atas pemergian insan tersayang, Allahyarhamah Manis Muka.
“Didoakan semoga roh Allahyarhamah dipelihara dan ditempatkan bersama orang-orang beriman,” kata bekas Ketua Menteri Sabah yang juga Ahli Parlimen Semporna itu, menerusi kenyataan ringkas di Facebook, hari ini.
Manis Muka dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan malam tadi akibat menderita sakit buah pinggang.
Manis Muka, yang juga Ketua Wanita WARISAN Semporna mempertahankan kerusi DUN Bugaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, dalam saingan tujuh penjuru.
Allahyarham menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan dua calon Bebas.
Beliau aktif dalam politik sejak 1985 dan pernah memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Semporna, sebelum menyertai WARISAN. – BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost