Sabah Hargai Pengorbanan Anggota KKM – Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama barisan hadapan dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata anggota perkhidmatan kesihatan Persekutuan yang menunjukan dedikasi dan kerja keras di bawah kepimpinan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah melakukan yang terbaik bagi memerangi pandemik tersebut.

 “Saya gembira dapat mengetahui bahawa kes COVID-19 di Sabah mula stabil berikutan penurunan kes seperti yang diumumkan oleh Tan Sri Dr Noor Hisham semalam dan banyak zon dan daerah di Sabah telah berubah menjadi hijau,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Sementara itu, Hajiji berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri COVID-19 hari ini menerima sumbangan berupa ventilator, mesin sinar-x bergerak, topeng muka dan sumbangan kewangan untuk membantu memerangi pandemik itu.

Hajiji Noor

Katanya Kumpulan Hap Seng melalui Yayasan Lau Gek Poh menyumbang RM2 juta untuk pembelian tiga mesin x-ray muda alih dan 11 unit ventilator bergerak; Yayasan Pertonas menyerahkan 1 juta pelitup muka; dan Cement Industries Sabah menyumbang RM100,000.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Shahelmy Yahya menerusi satu kenyataan berkata sehingga hari ini sebanyak 164,591 bakul makanan telah diagihkan kepada rakyat yang memerlukan di 27 daerah di negeri ini.

Beliau berkata untuk hari ini sahaja sebanyak 3,652 bantuan bakul makanan telah diagihkan di Beaufort (1,026), Kinabatangan (1,000), Tuaran (434), Kota Kinabalu (178), Tenom (141), Sandakan (116), Beluran (105), Nabawan (100), Ranau (95), Tongod (86), Penampang (76), Papar (59), Kuala Penyu (50), Pitas (42), Kunak (40), Sipitang (35), Putatan (28), Kota Marudu (21) dan Telupid (20). – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

754