ESSCom Rampas Rokok Seludup Bernilai RM288,032.00 Di Tawau

Pasukan Keselamatan merampas 22,900 bungkus rokok seludup bernilai lebih RM 288,032 menerusi Ops Cegah Pati (OCP) Daratan Selatan, malam tadi. – Foto ESSCom

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) merampas 22,900 bungkus rokok seludup bernilai lebih RM288,032 yang ditinggalkan di tepi pantai Kampung Hidayat, Batu 4 Jalan Apas, dekat sini, malam tadi.

Dalam Ops Cegah Pati (OCP) Daratan Selatan itu, hasil maklumat melalui radar, pasukan keselamatan berjaya mengesan pergerakan sebuah bot laju mencurigakan dari arah Pulau Sebatik menghala ke tebing laut Kampung Hidayat, kira-kira jam 7.35 malam.

Pasukan Keselamatan merampas 22,900 bungkus rokok seludup bernilai lebih RM 288,032 menerusi Ops Cegah Pati (OCP) Daratan Selatan, malam tadi. – Foto ESSCom

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman, berkata susulan itu sepasukan anggota terdiri daripada Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA), bersama 9 Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Unit Risik Pasukan Polis Marin (PPM) diatur gerak ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan.

“Apabila tiba di tempat kejadian, sebuah bot laju dikesan memecut meninggalkan tebing laut sebelum melarikan diri menuju ke kawasan perairan sempadan.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan itu kemudiannya menemui beberapa longgokan bungkusan plastik berwarna hijau mengandungi bungkusan rokok seludup pelbagai jenama disyaki tidak bercukai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pasukan Keselamatan merampas 22,900 bungkus rokok seludup bernilai lebih RM 288,032 menerusi Ops Cegah Pati (OCP) Daratan Selatan, malam tadi. – Foto ESSCom

Jelas Ahmad Fuad lagi, pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan penyeludupan rokok didalangi sindiket tertentu yang menjadikan kawasan pesisir pantai sekitar daerah ini sebagai lokasi transit sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

“Kesemua rokok seludup tanpa bercukai yang dirampas, masing-masing jenama Primero (9,600 bungkus); Djarum Black (10,200 bungkus); dan Surya Menthol Slim (3,100 bungkus) dibawa ke balai polis Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2001