Wang KWSP Hak Rakyat, Bukan Rizab Negara

PASIR GUDANG: Dana persaraan dalam simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan ‘harta peribadi rakyat’ dan bukannya rizab negara.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, rakyat mempunyai hak ke atas wang yang dicarum dan perkara itu terjamin menerusi Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, undang-undang yang mengawal operasi KWSP tidak boleh mengatasi perlembagaan dengan Perkara 13 menjamin hak rakyat terhadap harta dan wang ringgit mereka.

“Kerajaan patut benarkan pencarum KWSP keluarkan wang daripada Akaun 1 mereka sehingga RM10,000 secara sekali gus, kerana itu duit tabungan mereka sendiri.

“Mereka bukan mahu keluarkan semua, sekurang-kurangnya dengan jumlah berkenaan mereka dapat memulakan ikhtiar baharu meneruskan hidup,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kebenaran pengeluaran Akaun 1 KWSP secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 bagi tempoh 12 bulan. – Utusan

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3802