Pengeluaran Geran Tanah Anak Negeri Diteruskan

Juhar (duduk) menerima teks ucapan dasar kerajaan daripada Hajiji.

KOTA KINABALU:  Sebanyak 7,500 geran tanah anak negeri (native title) membabitkan 15,000 hektar keluasan tanah akan dikeluarkan oleh kerajaan negeri tahun hadapan.

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin berkata, sasaran pengeluaran geran berkenaan dilaksanakan melalui Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri (PANTAS).

Beliau berkata, langkah itu antara tumpuan kerajaan negeri untuk rakyat Sabah khasnya golongan anak negeri di kawasan luar bandar.

“Proses pengambilan tanah melalui kerja berdigital akan terus diperkasa dan dipercapatkan bagi menyokong pelaksanaan projek-projek pembangunan kerajaan negeri dan Persekutuan khasnya projek Lebuhraya Pan Borneo dan projek-projek pembangunan infrastruktur luar bandar. 

“Selain itu, penangguhan pembayaran premium tukar syarat guna tanah akan diteruskan sehingga 31 Disember 2021 bagi menggalakkan pertumbuhan sektor pembangunan hartanah. 

“Proses-proses kerja berkaitan pembangunan tanah juga akan dilaksanakan secara berdigital bermula 2021 bagi mempercepatkan pembangunan sektor hartanah di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Ke-16 di sini semalam.

Juhar berkata, bagi memastikan matlamat dan strategi Bajet Negeri 2021 tercapai, tumpuan akan diberikan kepada usaha meningkatkan lagi kecekapan pengurusan kewangan tahun semasa dan merasionalisasikan pengurusan sumber.

Dalam pada itu jelasnya, kerajaan negeri akan memantau kutipan hasil baharu dengan memastikan syarikat-syarikat minyak yang beroperasi di negeri ini termasuk Petronas membuat pembayaran cukai dengan teratur.

Menurutnya, usaha untuk mengembalikan momentum pembangunan sektor pelancongan akan diperkasakan dengan merangka pelan dan program pemulihan yang holistik untuk dilaksanakan sebaik Sabah bebas dari pandemik COVID-19.

Juhar (tengah) menghadiri pembukaan rasmi Persidangan DUN Sabah Ke-16.

Katanya, sebagai negeri yang menjadi tarikan dan tonggak utama sektor pelancongan di Malaysia, kerajaan negeri akan mempergiat usaha untuk menambah baik pengurusan alam sekitar dan pemeliharaan warisan budaya sebagai persediaan untuk terus memacu dan memperkasa industri pelancongan di negeri ini. 

Sementara itu, beliau turut menekankan komitmen kerajaan untuk meneruskan dasar agar kawasan hutan yang mempunyai nilai biologi tinggi dijadikan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) yang tidak kurang daripada 30 peratus keseluruhan keluasan negeri menjelang 2025.

Setakat ini katanya, keluasan hutan yang diisytiharkan sebagai TPA mencapai 1.9 juta hektar atau 26 peratus. Pencapaian ini menjadikan Sabah sebagai negeri yang mempunyai kawasan TPA yang terbesar di Malaysia. 

Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor; Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *