ABPBH33 Malam Ini Tanpa Penonton, Kelab Peminat

KUALA LUMPUR: Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 33 yang berlangsung malam ini tetap diteruskan tanpa kehadiran penonton dan mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta ditayangkan secara langsung di TV3. 

TV3 dalam satu kenyataan di Facebook berkata, malam kemuncak ABPBH33 di Axiata Arena, Bukit Jalil yang bermula jam 9 malam ini hanya akan dihadiri barisan artis yang terbabit secara langsung.

“Tiada penonton termasuk kelab peminat yang akan hadir,” katanya. 

Kemeriahan ABPBH33 akan tetap dirasai seperti penganjuran sebelumnya apabila turut diadakan sesi karpet merah.  

“Itu tidak bermakna artis yang terbabit tidak diberi peluang untuk melaram. Pastinya selepas menghabiskan masa dan tenaga untuk menyiapkan diri dalam persalinan paling menawan, ia harus dipersembahkan untuk dinikmati peminat.

“Aksi karpet merah masih diteruskan dan boleh disaksikan secara ‘live’ di saluran YouTube atau Facebook TV3Malaysia, Berita Harian Online, tontonmy, laman www.tonton.com.my atau serta aplikasi TikTok TV3Malaysia,” katanya. 

Dua selebriti generasi baru, Sissy Imann dan Sean Lee bakal mengacarakan sesi karpet merah itu. 

ABPBH33 akan dihoskan Datuk AC Mizal dan Nabila Huda serta menampilkan persembahan penyanyi hebat tanah air antaranya Ernie Zakri, Hafiz Suip, Syamel, Elly Mazlein, Faizal Tahir, Zizi Kirana, Naim Daniel, Ismail Izzani serta dua penyanyi legenda, Azlina Aziz dan Liza Aziz. 

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

626