Polis Tutup 10 Laluan Di Kampung Sabah Baru

LAHAD DATU, 12 Nov : Polis menutup 10 laluan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sabah Baru di sini, bagi mengelak penduduk menyelinap keluar dan masuk kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata kedudukan strategik kampung yang diingkungi jalan bakau dan jalan laut dikhuatiri menjadi laluan tikus.

“Polis dan agensi keselamatan lain telah memasang kawat berduri di laluan yang dijangka menjadi lorong tikus dan digunakan penduduk untuk lari,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini.

Nasri berkata laluan dari Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) yang berdekatan kampung itu juga turut ditutup dengan menggunakan kawat berduri.

“Setakat ini, keadaan terkawal, penduduk di sana menerima arahan PKPD ini dengan baik dan bantuan bakul makanan juga telah disalurkan, saya berharap penduduk sentiasa patuh dengan arahan petugas,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Lahad Datu Juraimin Jadil berkata PKPD yang berkuat kuasa pada 10 hingga 23 Nov ini membabitkan 701 rumah dengan 3,917 penduduk.

Juraimin yang juga Pegawai Daerah Lahad Datu berkata pelaksanaan PKPD bagi memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan COVID-19 bersasar seterusnya menyekat penularan kepada komuniti setempat.

Mengikut laporan PKOB daerah, sehingga semalam, seramai 102 individu dikesan positif COVID-19 daripada 441 individu yang disaring di lokaliti itu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2020