Teruskan Momentum Pembangunan Sabah Biarpun Berdepan Cabaran COVID-19 – Tun Juhar

KOTA KINABALU, 12 Nov : Kerajaan Negeri Sabah akan meneruskan momentum pembangunan negeri bagi menambah baik kualiti hidup rakyat biarpun kini berdepan pelbagai cabaran yang dibawa pandemik COVID-19, kata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau berkata bagi merealisasikan perkara itu, kerajaan negeri fokus untuk melaksanakan pelbagai program dan inisiatif meliputi pelbagai sektor di samping memperkasakan pembangunan infrastruktur dan utiliti di luar bandar. 

Bagi meneruskan momentum itu juga pentadbiran kerajaan, perniagaan dan perdagangan perlu terus berjalan lancar bagi memastikan sektor ekonomi negeri kekal berfungsi walaupun Sabah kini berdepan ancaman COVID-19, kata beliau.

“Kerajaan negeri juga komited untuk memberi perhatian terhadap sektor kesihatan, meningkatkan kualiti pendidikan dan modal insan, menambah baik kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi serta menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik.

“Selain itu, kerajaan negeri juga komited mengurangkan kemiskinan, menambah peluang pekerjaan dan mempertingkatkan tahap keselamatan negeri bagi memberi kualiti kehidupan lebih baik kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di sini hari ini.

Juhar berkata bagi membangunkan semula negeri terutama sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat COVID-19 dan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, kerajaan negeri juga berusaha membangunkan projek berimpak tinggi meliputi pelbagai sektor.

Sehubungan itu, katanya projek berimpak tinggi seperti Lebuhraya Pan Borneo, menaik taraf Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, projek kuasa hidro Ulu Padas dan Jalan Kalabakan/Serudong-Semanggaris akan terus dilaksanakan.

“Kerajaan Negeri akan terus memberikan keutamaan kepada pembangunan infrastruktur dan utiliti di luar bandar. Ini termasuk menambah baik liputan jalan raya, bekalan air bersih terawat, pengangkutan awam, sistem pembentungan, bekalan elektrik serta kemudahan pelabuhan and logistik lain,” katanya.

Beliau berkata sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat COVID-19 juga perlu dikembalikan momentum pembangunannya dengan merangka pelan dan program pemulihan yang holistik untuk dilaksanakan sebaik Sabah bebas daripada COVID-19. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *