Sabah Perlu Diberi Keutamaan Terima Bekalan Vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 Nov : Status Sabah, selaku negeri yang mencatat kes positif COVID-19 tertinggi, perlu diberi keutamaan menerima bekalan vaksin COVID-19 kelak.

Perkara itu dicadangkan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

“Memandangkan Sabah merupakan pusat bagi gelombang ketiga pandemik COVID-19, saya ingin mencadangkan agar rakyat di Sabah diberikan keutamaan untuk menerima vaksin yang dijangka tersedia pada tahun depan,” katanya. 

Setakat 9 Nov, Chan berkata Sabah mencatatkan kes positif melebihi 20,000, iaitu tertinggi di Malaysia dan menyatakan peruntukan mendesak bagi menangani krisis kesihatan yang berlaku di negeri itu harus diberikan keutamaan yang sewajarnya.

Malah, beliau berkata secara hakikatnya, Sabah telah lama menghadapi masalah sistem kesihatan awam sebelum penularan wabak COVID-19.

Setakat ini, Chan berkata terdapat 24 hospital kerajaan dan 300 klinik kesihatan kerajaan di seluruh Sabah, namun masih tidak dapat menampung sepenuhnya keperluan rakyat negeri itu.

Beliau mendakwa, nisbah rasmi doktor dengan penduduk di Sabah iaitu 1:856 (satu doktor untuk setiap 856 penduduk) berbanding dengan 1:454 pada peringkat nasional, menimbulkan cabaran kepada hospital dan barisan hadapan apabila kes baharu COVID-19 meningkat mendadak setiap hari.

Malah beliau berkata ramai anggota kesihatan dan petugas barisan hadapan di Sabah turut terjangkit dengan virus itu selain ada yang terpaksa bekerja lebih masa dan secara berterusan bagi menampung keperluan pekerja kesihatan, terutama hospital di sekitar Kota Kinabalu, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *