Perkhidmatan Hospital Medan ATM Di Tawau Dilanjut 6 Bulan

Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, mengadakan lawatan ke Hospital Medan ATM, di Kompleks Sukan Tawau. – Foto NSTP / Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Perkhidmatan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kompleks Sukan Tawau, di sini, dijangka dilanjutkan untuk tempoh enam bulan bagi menyokong Hospital Tawau dalam menangani pandemik Covid-19.

Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, ia berdasarkan tren semasa peningkatan jangkitan wabak Covid-19 di Sabah dan daerah ini khasnya.

Menurutnya, walaupun pada peringkat awal perancangan penubuhan hospital itu hanya untuk tiga bulan namun ia dijangka terus berlarutan.

“Kita menjangkakan operasi perkhidmatan di sini akan berlarutan sekurang-kurangnya untuk enam bulan akan datang.

“Apa yang sedang kita lakukan ketika ini adalah meningkatkan lagi keupayaan kepakaran dan fasiliti lain supaya menjadi lebih lengkap selain latihan kepada petugas,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Hospital Medan ATM, di sini, hari ini.

Turut hadir, Komander Hospital Medan ATM di Tawau Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad, Timbalan Pengarah Hospital Tawau Dr Azman Ibrahim, Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau Dr G. Navindran dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk Omar Mammah.

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini pihaknya belum merancang meluaskan atau membesarkan lagi kapasiti hospital yang kini berada pada tahap optimum.

Pada masa sama katanya, operasi dan perkhidmatan di hospital berkenaan memberi nilai tambah selain peluang dan pengalaman berharga kepada pegawai dan anggota ATM terutamanya pegawai perubatan dan doktor muda bertugas dalam suasana yang berbeza berbanding hospital biasa.

“Kewujudan hospital ini memberi impak yang amat signifikan yang membantu penyediaan tambahan sebanyak 25 peratus daripada kapasiti katil di Hospital Tawau bagi keperluan pesakit bukan Covid-19,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *