SAP Bantah Kebenaran Keluarkan Tabungan Akaun 1 KWSP

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan meneliti semula cadangan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan simpanan mereka.

Ia berikutan pemegang akaun tidak seharusnya dibenarkan mengeluarkan simpanan masing-masing sebelum waktu persaraan.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata kerajaan sebaliknya perlu menyediakan pakej rangsangan ekonomi dengan pelan memperluaskan bantuan kepada yang kehilangan pekerjaan daripada meminta mereka menggunakan simpanan bagi merangsang ekonomi.

Beliau berkata, ia berikutan daripada 14.59 juta pencarum KWSP, sebanyak 32 peratus pencarum (4.7 juta orang) mempunyai baki kira-kira RM1,000; dan 10 peratus (1.5 juta) mempunyai baki kira-kira RM5,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 mereka.

“Dalam erti lain, dianggarkan 6.2 juta (42 peratus) pencarum KWSP tidak mempunyai RM6,000 bagi dikeluarkan.

“Sekiranya mereka kembali bekerja selepas pandemik, bersara pada usia 60 dan meninggal pada usia 76 tahun dengan purata jangka hayat rakyat Malaysia, mereka tidak akan mempunyai wang bagi lebih sedekad,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Terdahulu menerusi Belanjawan Negara 2021, diumumkan bahawa kerajaan akan membenarkan pengeluaran bulanan RM500 daripada Akaun 1 KWSP, berjumlah RM6,000 dalam tempoh 12 bulan bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, CAP turut membantah idea pencarum mengeluarkan wang daripada akaun KWSP kerana mengikut Seksyen 27 Akta KWSP 1991, pencarum dijamin kadar minimum 2.5 peratus setahun daripada simpanan mereka.

Dengan meminta orang ramai meneruskan kelangsungan hidup menggunakan dana persaraan mereka sendiri, ia sama seperti bapa meminta anaknya memecahkan tabung simpanan jika mereka mahukan makanan seterusnya.

“Adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab terutama dalam tempoh sukar seperti ini.

“Kerajaan sepatutnya mencari cara lain bagi menyediakan bantuan kepada kumpulan masyarakat yang mudah terjejas,” katanya lagi.

Sehubungan itu, CAP turut mencadangkan supaya dilakukan pemotongan gaji sebanyak 50 peratus dan faedah istimewa terhadap semua Ahli Parlimen.

Katanya, kerajaan juga perlu meneliti dengan serius struktur gaji terhadap eksekutif tertinggi di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Entiti Berkaitan Kerajaan (GLE) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

“Selain gaji dan elaun bulanan mereka, terdapat faedah istimewa dan keistimewaan serta terma imbuhan lain yang dipersetujui.

“Kami menggesa kerajaan supaya memotong gaji mereka sekurang-kurangnya 25 peratus kerana RM458,300 itu hampir kepada 2,300 kali ganda daripada mereka yang bergaji RM2,000,” katanya.

Beliau merujuk kepada kajian FTSE Bursa Malaysia KLCI 30 syarikat yang melaporkan pada Januari 2019, eksekutif teratas GLC memperoleh pendapatan purata RM5.5 juta setahun atau sekitar RM458,300 sebulan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *