Anifah Mahu Hak Sabah Dalam Belanjawan Akan Datang

Anifah Aman berkata Sabah memiliki jumlah hospital lebih rendah berbanding Lembah Klang..

KOTA KINABALU: Bekas menteri Anifah Aman berpendapat hak Sabah seperti termaktub dalam perlembagaan negara perlu diterjemahkan dalam perancangan serta pengumuman belanjawan pada masa akan datang.

Katanya, ini kerana peruntukan pembangunan, peningkatan taraf serta kualiti kesihatan di negeri itu masih jauh ketinggalan dan seharusnya ditekankan dalam belanjawan akan datang.

“Sebagai contoh, dalam keadaan Sabah diduga dengan ujian dan jumlah pesakit Covid-19 yang tinggi, negeri ini mempunyai jumlah hospital yang lebih rendah berbanding di Lembah Klang.

“Saya amat sedih apabila mendapati Lembah Klang mempunyai jauh lebih banyak hospital berbanding seluruh Sabah dan ini merupakan salah satu faktor peningkatan kes Covid-19 di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anifah yang juga presiden Parti Cinta Sabah (PCS) berkata, makmal ujian saringan Covid-19 bergerak untuk menguji serta memberikan keputusan lebih cepat juga seharusnya diwujudkan di Sabah.

“Jadi, tidak perlu lagi sampel ini diterbangkan ke Semenanjung seperti dilakukan sekarang.

“Selain itu, lebih banyak pusat kuarantin harus diwujudkan dan bilangan kakitangan atau lebih dikenali sebagai ‘frontliners’ yang berpengalaman juga perlu ada di Sabah,” katanya.

Sementara itu, beliau menyambut baik peruntukan RM5.06 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan di Sabah.

“Saya menyambut baik pengumuman dibuat oleh menteri kewangan kerana bagi saya Belanjawan 2021 mempunyai ciri inklusif, berkebajikan, mesra perniagaan dan sesuatu yang berusaha meminimakan kesan dahsyat Covid-19.

“Belanjawan 2021 menyaksikan peruntukan hampir semua negeri mencatatkan peningkatan dengan Sabah dan Sarawak jika dilihat sekali pandang mendapat peruntukan tertinggi.

“Dalam konteks Sabah, saya sambut baik jumlah diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan, namun jumlah ini rendah berbanding perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan 2020,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *