Cadang Naikkan RM500 Kepada RM1,500 Daripada Akaun 2 KWSP

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen Umno mencadangkan kerajaan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan RM1,500 sebulan untuk 4 bulan daripada Akaun 2, berbanding RM500 sebulan untuk 12 bulan sekarang ini, semasa wakil rakyat Barisan Nasional dan pembangkang saling berbahas tentang cara berkesan untuk membantu rakyat di perbahasan Belanjawan 2021 hari ini.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) mencadangkan perkara itu, di samping membenarkan pencarum mengeluarkan RM10,000 secara sekali beri daripada Akaun 1, cadangan yang dibawa BN hari ini.

“Saya mencadangkan agar dipendek tempohnya daripada 12 bulan iaitu RM500 sebulan kepada RM1,500 sebulan selama 4 bulan, menjadikan jumlahnya juga RM6,000,” katanya di Dewan Rakyat.

“Sementara Akaun 1 pula dibenar keluar sekaligus, sebanyak RM10,000 jika simpanan melebihi RM10,000. Untuk simpanan kurang RM10,000, dicadang boleh keluar misalnya 50%, dengan itu mereka miliki baki 50% lagi,” tambahnya.

Ahmad juga antara wakil-wakil rakyat yang mahu moratorium ke atas pembayaran pinjaman bank dilanjutkan secara automatik sehingga Jun 2021 dimasukkan dalam Belanjawan 2021.

Beliau juga mencadangkan selepas moratorium itu, peminjam yang mempunyai pinjaman RM500,000 dan ke bawah diberi penangguhan automatik untuk 3 hingga 6 bulan lagi jika pandemik belum pulih.

“Pinjaman berjumlah besar dan banyak oleh T20, dan syarikat besar dengan tersendiri terkecuali kerana keupayaan mereka,” katanya.

“Pada masa sama kita boleh terus membantu rakyat yang memerlukan. Angka RM500,000 itu boleh diubah mengikut yang lebih sesuai berdasarkan jumlah paling ramai rakyat yang boleh dibantu.”

Barisan Nasional mahu pindaan dibuat untuk memasukkan 2 tuntutan utamanya iaitu lanjutan moratorium dan membenarkan pengeluaran RM10,000 daripada akaun KWSP.

Terdahulu, BN mengumumkan sokongannya kepada Belanjawan 2021 bergantung sama ada tuntutannya dilayan, iaitu memasukkan lanjutan moratorium, dan membenarkan pengeluaran RM10,000 daripada akaun KWSP. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

14735