15 Setiausaha Politik Angkat Sumpah

Hajiji (kiri) menyerahkan surat pelantikan kepada Abdul Kassim (kanan) pada majlis itu. Turut kelihatan Masidi (dua kiri) dan Ariffin (dua kanan).

KOTA KINABALU: Seramai 15 setiausaha politik diketuai oleh Ketua Setiausaha Politik Abdul Kassim Razali mengangkat sumpah di hadapan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Hajiji dalam ucapannya mengingatkan agar semua yang dilantik supaya melaksanakan tanggungjawab seiring dengan kepercayaan yang diberikan kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Rakyat memberikan mandat kepada kerajaan baharu untuk memerintah.

“Menjadi kewajipan kita melakukan yang terbaik, lebih-lebih lagi selepas wabak COVID-19 membawa banyak cabaran dan kesulitan kepada semua sektor,” katanya pada majlis itu di sini semalam.

Beliau turut menggesa kepada semua setiausaha politik untuk terus mendengar, mengatasi dan membetulkan kesilapan yang disebarkan pembangkang secara meluas di media sosial terhadap kerajaan.

Menurutnya, inilah masa untuk bekerja dan melakukan tugas dengan baik untuk menyokong menteri seterusnya menjadi sebuah pasukan terbaik.

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi usaha kerajaan negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM160 juta untuk membantu rakyat yang terjejas dengan pandemik COVID-19.

Katanya, setakat ini bantuan berkenaan memberi manfaat kepada lebih sejuta penduduk manakala sejumlah 144,000 bakul makanan turut diagihkan ke semua daerah.

Senarai setiausaha politik menteri yang dilantik termasuklah Dr. Roland Chia dan Datuk Redonah Bahanda (Ketua Menteri); Fairuz Renddan dan Johari Saiman (Menteri Kewangan); Fadilah Sarbi (Timbalan Ketua Menteri I); Arlinsia Agang (Timbalan Ketua Menteri II); dan Yubidi Gompoyo (Timbalan Ketua Menteri III).

Turut dilantik, Datuk M Yahya Dunggi (Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan); Jilias Lintan (Menteri Pembangunan Luar Bandar); Datuk Siti Aminah Aching (Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat); Noraini Idris (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi); Ireneus @ Jreneus Pagut (Menteri Belia dan Sukan); Kurniawan Naim Moktar (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar); dan Ahmad Yusof (Menteri Tugas-Tugas Khas).

Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Menteri Kewangan II Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dan Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *