Pelajar Cilik Malaysia Menang Pertandingan NASA Dengan Mencipta Tandas Untuk Angkasawan

Zyson Kang Zy Shun, seorang pelajar sekolah rendah berumur 9 tahun dari Setia Alam, Selangor, telah memberi kebanggaan kepada rakyat Malaysia dengan memenangi tempat pertama dalam pertandingan Lunar Loo Challenge yang dianjurkan oleh Pentadbiran Aeroangkasa dan Aeronautik Amerika Syarikat (NASA). Ciptaan beliau telah menewaskan hampir 900 peserta lain dari seluruh dunia.

Pelajar SJK(C) Pin Hwa 1 itu memenangi pertandingan tersebut dengan ciptaanya, Spacesuit Lunar Toilet, yang memudahkan angkasawan untuk membuang air sewaktu berada dalam kapal angkasa. Apa yang membuatkan ciptaannya unik adalah ia tidak memerlukan tenaga elektrik atau bateri, hanya menggunakan tenaga kinetik daripada gerakan justeru mengurangkan risiko alat tersebut untuk rosak.

Alat tersebut menggunakan picagari yang dilekatkan pada kaki angkasawan untuk mengawal tekanan dalam saluran tiub bagi membawa cecair bahan buangan ke dalam kantung hidrogel, untuk menukarkannya menjadi pepejal. Anda boleh lihat pembentangannya di bawah:

Penasihat beliau, Chong Soo Sheong, mengatakan Zyson telah berusaha selama berbulan-bulan untuk menghasilkan rekaan tersebut. Seorang lagi rakyat Malaysia, Kevin Lim, telah menyertainya dalam kategori dewasa namun tidak berjaya memenanginya. Pertandingan Lunar Loo Challenge telah dianjurkan oleh NASA bagi merancang misi ke bulan pada 2024.

Tahniah kepada Zyson Kang atas kejayaan anda, semoga anda terus menyumbang kepada negara. Kongsi pendapat anda tentang pencapaian hebat ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Star

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *