RM8.959 Juta Diperuntukkan KPM Bagi Penerbitan Buku Teks Bahasa Kadazandusun

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM8.959 juta diperuntukkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi penerbitan dan pembekalan buku teks Bahasa Kadazandusun sejak mula dilaksanakan sehingga tahun 2020.

Menterinya, Dr. Mohd Radzi Md Jidin berkata, daripada keseluruhan peruntukan tersebut, sebanyak RM6.096 juta adalah bagi buku teks Bahasa Kadazandusun sekolah rendah, dan RM2.863 juta lagi untuk sekolah menengah.

“Mata pelajaran Bahasa Kadazandusun telah diperkenalkan mulai tahun 1998 untuk sekolah rendah dan pada tahun 2006 untuk Tingkatan 1 sekolah menengah.

“Bagi tahun 2020, KPM telah memperuntukkan sebanyak RM1.083 juta bagi penerbitan dan pembekalan buku teks Bahasa Kadazandusun untuk kegunaan tahun 2021. Jumlah peruntukan ini merangkumi RM584,500 untuk sekolah rendah dan RM498,500 untuk sekolah menengah,” katanya.

Mohd Radzi berkata demikian dalam satu jawapan bertulis kepada soalan lisan yang diajukan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) pada Sidang Dewan Rakyat Parlimen Malaysia, di sini  pada Selasa.

Dalam soalannya, Madius meminta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah peruntukan yang telah diberikan kepada sekolah rendah dan sekolah menengah untuk menerbitkan buku-buku teks Bahasa Kadazandusun sejak mata pelajaran itu diperkenalkan.

Mohd Radzi menambah, sehingga kini, sebanyak 410 sekolah rendah dan 44 sekolah menengah telah menawarkan mata pelajaran Bahasa Kadazandusun.

“Bilangan murid yang mengikuti mata pelajaran tersebut adalah seramai 47,191 orang murid sekolah rendah dan 6,199 orang murid sekolah menengah,” ujar beliau.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2792