COVID-19: OKU 92 Tahun Antara 5 Kematian Di Sabah Hari Ini

KOTA KINABALU: Orang Kelainan Upaya (OKU) penglibatan berusia 92 tahun antara lima kes kematian yang dilaporkan di Sabah, hari ini.

Korban terbaru Covid-19 ini dilaporkan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, secara keseluruhan sebanyak enam kes kematian dilaporkan, termasuk lima di Sabah. Ini termasuk dua bukan warganegara.

Daripada jumlah itu, tiga kes kematian dilaporkan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan dan masing-masing satu kematian dilaporkan di Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Tawau. Sementara, satu kematian dilaporkan di Hospital Selayang, Selangor.

Kesemua pesakit itu berusia antara 54 hingga 92 tahun dan kebanyakan mempunyai sejarah penyakit kronik seperti penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, strok dan lumpuh anggota badan.

Dengan enam kematian terbaru ini, ia menjadikan kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 277 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 143 kes.

Untuk hari ini, daripada 1,009 kes positif baharu Covid-19 yang dilaporkan, sebanyak 564 kes positif baharu dilaporkan di Sabah.

Sementara, sebanyak 95 kes baharu dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Sebanyak lima kluster baharu dilaporkan hari ini termasuk kluster Sutera, Kota Kinabalu dan kluster Ria-30, Tuaran di Sabah. Kluster lain adalah kluster Tamar, Selangor; kluster Danau, Kuala Lumpur dan kluster Intan, Pulau Pinang.

Bilangan kes pulih yang dilaporkan hari ini adalah sebanyak 839 kes, dengan bilangan kumulatif kes pulih adalah sebanyak 25,654 kes.

Tambahan 1,009 kes baharu itu menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 36,434 kes. Sebanyak 10,500 kes aktif dengan 78 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 28 kes memerlukan bantuan alat pernafasan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1162