Kesan Pengeluaran Akaun Satu KWSP

Gambar Hiasan

Dalam mengharungi situasi yang tidak pernah terjadi sebelum ini, polisi negara tidak boleh dirancang dalam keadaan panik seperti membenarkan pengeluaran daripada akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Sebaliknya, rancangan yang amat teliti harus dibuat bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan. Ia juga penting demi mengelakkan pembaziran oleh mereka yang mempunyai literasi pengurusan kewangan yang lemah.

Menurut laporan akhbar, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meminta kerajaan supaya mempertimbangkan cadangan pengeluaran wang simpanan daripada akaun satu oleh pencarum KWSP sekurang-kurangnya RM5,000 atau maksimum RM10,000 sekali gus.

Asyraf Wajdi menambah bahawa aliran tunai berjumlah RM40 bilion akan tersedia sekiranya empat juta pencarum KWSP dibenarkan mengeluarkan RM10,000 seorang.

Namun, dari perspektif KWSP, pengeluaran tersebut juga bermaksud dana KWSP bernilai RM40 bilion yang sepatutnya dijadikan wang simpanan pekerja akan hilang.

Walaupun cadangan itu nampak menyenangkan bagi pencarum kerana mereka boleh mendapatkan wang tunai segera, pengeluaran wang simpanan itu akan menjejaskan aliran tunai KWSP yang diuruskan bagi kegunaan pencarum pada masa hadapan melalui aktiviti pelaburan.

Jika pencarum dibenarkan melaksanakan pengeluaran one-off berjumlah RM10,000 daripada akaun satu mereka, ia akan menyukarkan pihak kerajaan untuk terus menjana pendapatan negara, menampung perbelanjaan untuk rakyat dan meningkatkan wang simpanan persaraan rakyat.Hal itu perlu difikirkan secara kritis kerana krisis yang tidak pernah terjadi itu memerlukan kerajaan mengambil langkah-langkah rangsangan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Walaupun jumlah kutipan caruman bulanan KWSP untuk tahun ini belum dikeluarkan, pengeluaran wang simpanan bernilai RM40 bilion adalah satu angka yang besar.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Tunku Alizakri Alias memberitahu, akses kepada akaun dua KWSP melalui i-Lestari telah membawa kepada pengeluaran wang simpanan berjumlah lebih RM11 bilion oleh lebih 4.7 juta pencarum sejak April tahun ini.Selain itu, kadar caruman minimum KWSP juga telah diturunkan kepada tujuh peratus daripada 11 peratus berkuat kuasa mulai 1 April 2020.

Wang simpanan KWSP dicipta untuk kegunaan pencarum pada masa hadapan. Pengeluaran jumlah yang besar daripada akaun satu akan melemahkan jaringan keselamatan yang diperlukan untuk menangani perbelanjaan jangka pendek berkaitan koronavirus (Covid-19) dan boleh membawa kepada masalah yang lebih besar kerana kadar jangka hayat penduduk Malaysia semakin meningkat.

Perancangan

Pihak kerajaan juga telah membuat perancangan vaksin untuk menangani jangkitan Covid-19 yang akan dibentangkan dalam Belanjawan 2021. Kejayaan pelan vaksinasi negara dijangka memudahkan proses pemulihan ekonomi negara.

Wang simpanan persaraan merupakan jaringan keselamatan jangka masa panjang yang tidak patut dijadikan sebagai jalan penyelesaian sementara.Namun, rakyat yang sudah kehilangan pekerjaan dan tidak mempunyai sumber pendapatan yang lain mungkin tiada pilihan selain bergantung kepada wang simpanan KWSP.

Oleh itu, kebenaran untuk pengeluaran wang simpanan KWSP harus dihadkan hanya kepada individu yang dapat membuktikan bahawa mereka telah kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan secara drastik.

Apatah lagi, kata Timbalan CEO Bahagian Operasi KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish, sekitar 54 peratus daripada pencarum KWSP yang berusia 54 tahun mempunyai wang simpanan kurang daripada RM50,000 untuk persaraan.Katakan, sebilangan daripada pencarum yang mempunyai simpanan berjumlah RM49,000 memilih untuk mengeluarkan RM10,000 sekali gus, baki simpanan mereka hanya akan tinggal RM39,000 untuk tahun-tahun yang akan datang.

Membenarkan mengeluarkan wang daripada akaun satu harus dikira sebagai langkah sementara dan dihadkan mengikut kumpulan umur pencarum. KWSP boleh mempertimbangkan pengeluaran wang simpanan secara berperingkat selama enam bulan bagi pencarum yang berusia 40 tahun ke atas dan jumlah pengeluaran tidak melebihi 20 peratus daripada jumlah simpanan.

Bagi mereka yang berumur di bawah 40 tahun, had yang lebih tinggi boleh ditetapkan misalnya pada kadar 30 peratus daripada jumlah simpanan.

Mengehadkan pengeluaran penting kerana sebilangan pencarum mungkin tidak mempunyai kemahiran yang cukup dalam perancangan kewangan dan situasi itu hanya akan membahayakan masa depan mereka.

Namun begitu, terdapat alternatif lain selain pengeluaran wang simpanan daripada akaun satu.

Seperti yang sedia maklum, kerajaan telah menyalurkan bantuan melalui KWSP untuk program i-Lestari dengan membenarkan pemilik akaun membuat pengeluaran bulanan antara RM50 hingga RM500 daripada akaun dua, bergantung kepada dana yang ada dalam akaun berkenaan.

Sejak pandemik Covid-19 melanda, kerajaan telah memberikan bantuan kewangan secara langsung kepada rakyat dan peniaga melalui pelbagai inisiatif seperti pakej Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana dan Kita Prihatin.

Alizakri menyatakan bahawa inisiatif kerajaan yang disalurkan kepada rakyat terutama golongan B40 dan M40 telah mencecah RM55 bilion. Kerajaan telah menunjukkan sikap prihatin terhadap keperluan rakyat sejak awal lagi dan pihak kerajaan akan terus membantu selagi termampu.

Alizakri juga menegaskan bahawa Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan KWSP akan membantu pemilik akaun membuat perancangan kewangan yang diperlukan dalam mengharungi cabaran ketika ini.

Sehingga kini, kerajaan telah memberikan bantuan kewangan kepada rakyat melalui pembayaran Bantuan Prihatin Nasional.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sukar bagi kera-jaan untuk membenarkan pengeluaran wang simpanan akaun satu kerana kerajaan telah mengeluarkan dana berbilion ringgit bagi mengurangkan beban rakyat.

Muhyiddin juga telah memberi jaminan bahawa lebih banyak bantuan akan diberikan dengan dana berbilion ringgit dijangka disalurkan kepada rakyat.

Oleh itu, rakyat disaran untuk memanfaatkan sepenuhnya inisiatif sedia ada manakala tahap kesedaran orang ramai terhadap inisiatif kerajaan juga harus ditingkatkan. Belanjawan 2021 perlu diteliti dahulu dan penilaian terhadap pasca-Covid-19 harus dilakukan secara mendalam dan rasional sebelum mengambil tindakan drastik yang berisiko mengancam jaringan keselamatan sosial rakyat pada masa hadapan.

  • Ameen Kamal dan Sofea Azahar ialah sebahagian daripada kumpulan penyelidikan EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang fokus kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

17757