Sabah Harus Dapat Lebih Peruntukan Akibat Covid-19

KOTA KINABALU: Bekas timbalan ketua menteri Sabah, Christina Liew berkata, negeri itu berhak mendapat lebih banyak peruntukan dalam Belanjawan 2021.

Liew, yang juga ahli Parlimen Tawau, berkata Sabah, yang kaya dengan sumber, tetapi juga salah sebuah negeri termiskin dalam negara, ialah sebahagian daripada persekutuan dan Malaysia tidak akan wujud tanpa penyertaannya.

“Sabah menerima RM5.2 bilion di bawah Belanjawan 2020. Kali ini, Sabah memerlukan lebih banyak peruntukan memandangkan pandemik Covid-19 belum berakhir dan masih menular serta mengorbankan lebih banyak nyawa.

Christina Liew.

“Pada dasarnya, pengagihan bantuan makanan amat diperlukan buat masa ini, bukan hanya untuk B40 dan golongan kumpulan kurang bernasib baik lain, tetapi juga untuk meringankan penderitaan keluarga yang terkesan dengan gelombang ke-3 jangkitan.

“Berdasarkan keadaan ini, fokus kita perlu disasarkan pada usaha membendung wabak sambil berusaha memulihkan ekonomi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah orang Sabah mengharapkan belanjawan berorientasikan rakyat dan berpusatkan pembangunan.

Selain itu, ketua PKR Sabah itu turut menggesa kerajaan persekutuan mempertimbangkan untuk mengagihkan dana kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira mereka dari kerajaan, pembangkang mahupun bebas.

Beliau berkata, ini dapat membantu mereka membantu rakyat di kawasan masing-masing.

“Kami semua ialah wakil rakyat terpilih dengan peranan dan tanggungjawab, tanpa mengira status politik kami.

“Mengetepikan peruntukan untuk kawasan pembangkang sama dengan tindakan menghukum pengundi yang juga pembayar cukai dan berhak mendapat dana persekutuan untuk pembangunan.” –FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

784