Tok Mat Gesa Semua Parti Beri Laluan Kepada Warisan Dalam PRK Batu Sapi

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, semua pihak harus memberi laluan kepada Warisan dalam PRK Batu Sapi sebagai permuafakatan nasional bagi mengurangkan impak wabak Covid-19.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin tertinggi Umno menggesa semua parti memberi laluan kepada Warisan di Parlimen Batu Sapi tanpa dicabar bagi mengelakkan pertandingan dalam pilihan raya kecil (PRK) yang bakal diadakan.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata, perisyitiharan darurat untuk menangguhkan PRK Batu Sapi atau pilihan raya negeri Sarawak bukan sahaja tidak perlu, malah bukanlah langkah terbaik.

“Umum mengetahui bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding di Batu Sapi dan gesaan saya ialah parti lain juga memberikan laluan kepada Warisan.

“Jika persefahaman sebegini boleh diusahakan, maka kita boleh memberi laluan kepada Warisan dalam PRK Batu Sapi sebagai permuafakatan nasional mengurangkan impak wabak Covid-19 kepada masyarakat.

“Jika ini berlaku, PRK Batu Sapi tidak diperlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PRK Batu Sapi ditetapkan pada 5 Dis ini dengan hari penamaan calon pada 23 Nov dan pengundian awal pada 1 Dis.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Liew Vui Kong pada 2 Okt dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

PRK Batu Sapi adalah pilihan raya kecil ke-13 selepas pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Mohamad berkata, Malaysia adalah sebuah demokrasi yang berfungsi dengan baik dan mesti terus berfungsi dalam keadaaan paling getir sekali pun.

“Justeru, semua pihak mesti menghormati kearifan Yang di-Pertuan Agong untuk menolak darurat, mempertahankan Perlembagaan dan mengiktiraf pencapaian baik kerajaan mengawal pandemik pada waktu ini,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas semalam berkata hanya perisytiharaan darurat akan membolehkan PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak ditangguhkan sehingga pandemik Covid-19 berakhir.

Mengulas mengenai PRN Sarawak, Mohamad berkata, tempoh matang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ialah pada 7 Jun 2021.

“Jika kerajaan negeri berkhidmat sehingga tamat tempoh tersebut, PRN akan diadakan 60 hari dari 7 Jun 2021 dan ini membolehkan PRN Sarawak diadakan dalam bulan Ogos 2021,” katanya.

Beliau turut mengingatkan tentang implikasi jika darurat diisytiharkan hanya untuk mengelakkan PRN Sarawak sedangkan ia hanya boleh diadakan paling lewat 10 bulan akan datang.

“Saya sangat meyakini kebijaksanaan Ketua Menteri Sarawak (Abang Johari Abang Openg) dan pastinya beliau akan membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira pelbagai dimensi kepentingan umum sebelum membubarkan DUN Sarawak.”

Malah katanya, beliau yakin dengan kemampuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan pilihan raya dalam keadaan apa sekali pun sesuai dengan tuntutan Perlembagaan.

“SPR perlu membuat keputusan bagaimana ia akan mengendalikan pilihan raya dengan protokol kesihatan sewaktu pandemik.

“SPR berwibawa memastikan proses demokrasi berjalan dengan sebaiknya,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

2406