Premis Hiburan Dikesan Beroperasi Curi-Curi

Kegiatan sebuah premis hiburan yang beroperasi tanpa mempedulikan penguatkuasaan SOP PKPB berjaya dikesan polis.

KOTA KINABALU: Sebuah premis hiburan beroperasi secara curi-curi malah menerima kehadiran pelanggan berjaya dikesan di Jalan Lintas, Lintas Square Luyang di sini, Rabu.

Polis mengesan kegiatan pengusaha premis dan pelanggan-pelanggannya itu menerusi tugas pemantauan OP COVID-19 Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata serbuan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu dibuat kira-kira jam 9. 35 malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu bukan sahaja masih dibuka malah ada pelanggan yang berhibur dan minum minuman beralkohol,” katanya, di sini, semalam.

Habibi berkata berikutan itu juga, polis bertindak menahan tiga lelaki dan seorang wanita kerana menjalankan perniagaan pusat hiburan dan minum yang melanggar SOP PKPB.

Mengulas lanjut, beliau berkata mereka juga didapati gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Rentas Daerah yang dikuatkuasakan dalam tempoh PKPB.

“Mereka melakukan kesalahan berdasarkan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No. 8) dan boleh dihukum mengikut Peraturan 11.

“Semua pelanggan premis berkenaan dikenakan kompaun,” katanya, sambil berharap masyarakat berusaha mematuhi setiap SOP yang dikuatkuasakan sepanjang PKPB.

Menurutnya, tahap pematuhan masyarakat terhadap SOP yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi penentu penting terhadap keberkesanan PKPB.

Beliau berkata individu yang melakukan kesalahan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) boleh berhadapan hukuman berat.

“Jika dikenalpasti baharu melakukan kesalahan pertama, pesalah boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

“Bagaimanapun, jika ada individu yang didapati melakukan kesalahan serupa kali kedua, pesalah boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Habibi berkata jika pesalah sama melakukan kesalahan berterusan pula, individu terbabit boleh didenda maksimum RM200 untuk setiap hari kesalahan itu dilakukan,” katanya.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *