Covid-19: Tiada Lagi Zon Hijau Di Sabah

Sehingga Khamis (29 Oktober 2020), terdapat seramai 3,848 pesakit sedang menerima rawatan di seluruh negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Daripada 26 buah daerah di Sabah, 18 daripadanya kini berada dalam zon merah.

Berbanding sebelum ini daerah Tongod yang kekal di zon hijau sejak tiga minggu lalu telah dikategorikan dalam zon kuning bersama lapan daerah lain susulan satu kes positif direkodkan pada Khamis.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun, jumlah kes positif COVID-19 menyaksikan pertambahan kes baharu melibatkan daerah di zon kuning.

“Hari ini daerah Tongod mencatatkan 1 kes dan bertukar ke zon kuning.

“Secara keseluruhan jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah pada hari ini adalah sebanyak 352 kes dan tiada kematian dicatatkan.

“Pada hari ini, seramai 458 pesakit telah sembuh dari hospital dan menjadikan jumlah kumulatif sembuh ialah seramai 7,683 orang.

“Setakat ini bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi ICU ialah seramai 72 orang manakala 27 orang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Masidi turut memaklumkan terdapat dua kluster baharu iaitu di dua daerah Lahad Datu dan Kota Belud.

Kluster Sakti di daerah Lahad Datu sebanyak tujuh kes yang merupakan kluster di kilang sawit manakala Kluster Tuguson di daerah Kota Belud sebanyak empat kes yang berpunca daripada Majlis Serah Tugas.

Tambahnya kerajaan juga telah menambah kapasiti katil sebanyak 622 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

“Jumlah penambahan kapasiti katil hari ini di PKRC adalah sebanyak 622 katil menjadikan jumlah keseluruhan katil di negeri ini sebanyak 7,859 katil.

“Penambahan ini merangkumi Penjara Tawau 500 katil, PKRC Pusat Kebudayaan Penampang 93 katil danRumah Rehat Kudat 29 katil,” katanya.

Sehingga Khamis (29 Oktober 2020), terdapat seramai 3,848 pesakit sedang menerima rawatan di seluruh negeri Sabah.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *