PKPB: Malim Gunung Berkebun Tampung Keperluan Keluarga

Gambar Hiasan

RANAU: Penutupan aktiviti mendaki Gunung Kinabalu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) memaksa malim gunung beralih sementara melakukan kerja-kerja di kebun bagi memenuhi keperluan keluarga.

Timbalan Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Richard Soibi, berkata berkebun adalah satu-satunya aktiviti yang boleh diusahakan malim di sekitar Kundasang, namun kebanyakan hasilnya hanya untuk kegunaan sendiri.

Katanya, walaupun boleh menjual hasil tanaman di gerai tepi jalan, namun kekangan pergerakan berikutan PKPB menyebabkan tiada pelanggan datang untuk membeli hasil kebun seperti sayuran.

“Malim gunung memang sangat terjejas kerana selagi tiada aktiviti mendaki, selagi itulah kami tiada pendapatan. Walaupun boleh berkebun tetapi tidak dapat dijual, kebanyakannya hanya untuk dimakan sendiri,” katanya kepada BH.

Timbalan Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Richard Soibi
Timbalan Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Richard Soibi

Malim gunung antara pekerja dalam sektor pelancongan yang terjejas akibat pelaksanaan PKPB bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Richard berkata, ketika ini seramai 293 malim gunung berdaftar dengan Persatuan Malim Gunung Kinabalu dengan kebanyakan mereka tinggal di sekitar Taman Kinabalu di Kundasang dan kampung berhampiran.

Taman-Taman Sabah yang mengurus Taman Kinabalu menutup aktiviti pendakian di gunung tertinggi Asia Tenggara itu bermula awal bulan ini selepas ada pendaki dikesan positif COVID-19 sebelum disusuli PKPB.

Richard berkata, seramai 32 malim gunung yang bertugas pada hari yang sama pendaki terbabit mendaki turut diarah menjalani saringan COVID-19 dan kuarantin di rumah.

“Syukur tiada yang positif tetapi tidak tahu bagaimana nasib kami jika situasi COVID-19 ini tidak reda dalam masa terdekat. Sekarang sudah lebih dua minggu PKPB pun keadaan kami sudah terjejas,” katanya.

Tambahnya, selain malim gunung, semua rantaian aktiviti berkaitan pelancongan di Ranau, khususnya Kundasang terjejas akibat pandemik COVID-19 termasuk porter, pengusaha inap desa dan penjual sayur.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerajaan memahami nasib malim gunung dan mengambil berat beban ditanggung mereka dengan menyalurkan bantuan tunai RM300 seorang.

“Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin ada datang ke Taman Kinabalu semalam untuk menyampaikan bantuan kepada seramai 293 malim gunung dengan setiap seorang menerima RM300,” katanya.

Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, semalam mengumumkan bantuan RM300 kepada setiap pekerja terjejas dalam sektor pelancongan membabitkan peruntukan keseluruhan lebih RM1 juta.

Ia adalah sebahagian daripada peruntukan tambahan RM160 juta untuk bantuan COVID-19 yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, sebelum ini.

Penularan COVID-19 sejak awal tahun ini adalah musibah kedua menjejaskan pendapatan malim gunung selepas gempa bumi bermagnitud 5.9 skala Richter berpusat di Gunung Kinabalu yang menyebabkan aktiviti pendakian ditutup lebih tiga bulan pada 2015. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *