SESB Kembali Baca Meter Mulai 1 November

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan melaksanakan semula operasi bacaan meter di premis pengguna bermula 1 November ini.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Norhizami Abu Hasan, berkata operasi itu dilaksanakan di seluruh negeri dan Labuan kecuali lokasi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurutnya, bacaan meter oleh anggota kerja SESB dilakukan di semua premis pengguna dengan mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan pembaca meter serta pengguna.

“Bagi mengawal penularan pandemik Covid-19, semua pembaca meter SESB diwajibkan menjalani ujian saringan sebelum dibenarkan bertugas.

“SESB juga akan membekalkan peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap kepada pembaca meter termasuk cecair pembersih tangan dan sarung tangan ketika mereka melaksanakan tugas.

“Mereka juga diminta untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan pekerja serta pengguna terjamin,” katanya dalam kenyataan di sini.

SESB sebelum ini menghentikan sementara operasi bacaan meter bermula awal bulan ini berikutan pelaksanaan PKPB dan mengambil kira situasi semasa kes Covid-19 yang tinggi.

Katanya, bagi memudahkan pengguna mengenali pembaca meter SESB, mereka turut diwajibkan memakai pakaian seragam dengan logo SESB dan kad pekerja.

Beliau berkata, SESB memutuskan untuk melaksanakan semula bacaan meter di premis pengguna bagi memudahkan pengguna mendapatkan bil dengan amaun sebenar.

Katanya, hanya pengguna di lokasi PKPD kekal menggunakan bil anggaran sehingga bacaan meter dilaksanakan semula apabila situasi COVID-19 di lokasi terbabit dilaporkan pulih.

Sementara itu, Norhizami mengingatkan pengguna di seluruh negeri ini dan Wilayah Persekutuan Labuan supaya menggunakan elektrik secara berhemah sepanjang tempoh PKPB.

“Memandangkan sepanjang tempoh itu kebanyakan pengguna berada di rumah berkemungkinan penggunaan elektrik juga bertambah dan menyebabkan bil elektrik turut meningkat.

“Oleh itu, penggunaan elektrik secara berhemah amatlah digalakkan. Pengguna juga dinasihatkan untuk mendaftar dalam sistem perkhidmatan pelanggan secara dalam talian SESB (OCS) bagi memudahkan penyaluran info berkaitan bil,” katanya.

Katanya pendaftaran boleh dilakukan melalui pautan https://ocs.sesb.com.my untuk mengetahui jumlah terkini bil elektrik termasuk diskaun yang diberikan mengikut kategori ditetapkan.

Pengguna yang menghadapi masalah berkaitan bil atau kerumitan untuk mendaftar masuk ke OCS SESB boleh terus menghubungi SESB Careline di talian 088- 515000 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 019- 852 5427.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *