Dewan Bedah Hospital Semporna Beroperasi Hari Ini

Dewan Bedah Hospital Semporna yang baru dinaik taraf mula beroperasi hari ini. Foto Ihsan Hospital Semporna

SEMPORNA: Hospital Semporna terus mengorak langkah apabila secara rasminya memulakan pembukaan dewan bedahnya hari ini selepas 13 tahun pembedahan tidak dilaksanakan di hospital itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dewan bedah yang siap dinaik taraf itu membolehkan pembedahan perkhidmatan Obstetric dan Ginekologi akan dapat dilaksanakan dengan bantuan pakar dari Hospital Tawau.

Menurutnya, pembedahan lain pula akan dimulakan secara berperingkat.

Katanya, dengan itu, kesiapsiagaan di Hospital Semporna dan juga kawasan pantai timur Sabah dapat dipertingkatkan bagi menghadapi pandemik Covid-19.

“Pembedahan membabitkan pesakit Covid-19 juga akan dilaksanakan di Dewan Bedah Hospital Semporna.

“Tidak semua pembedahan perlu dirujuk ke Hospital Tawau seterusnya membolehkan kapasiti Hospital Tawau dioptimakan sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya, malam tadi.

Sementara itu, Pengarah Hospital Semporna Dr Mohd Syahfadzreen Yunus berkata, ketika ini hospital itu mempunyai kapasiti 1,411 buah katil bagi menempatkan pesakit Covid-19 selain Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 berbanding kekuatan asal yang hanya mempunyai kapasiti 70 buah katil.

“Kita juga dalam persediaan untuk membuka Wad Pergantungan Tinggi (HDW) dan Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi membolehkan rawatan awal dan kritikal dapat dilaksanakan selain membantu meningkatkan kualiti rawatan kepada masyarakat setempat.

“Persediaan ini membabitkan banyak cabaran dari segi pengurusan kewangan, aset dan juga pengurusan sumber manusia, namun kita bertuah kerana mendapat sokongan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Hospital Semporna juga antara hospital Hybrid Covid yang memulakan rawatan di wad dengan bantuan daripada pakar dan kakitangan perubatan.

“Walaupun hospital kecil, semangat kami besar dan warga kerja Hospital Semporna termasuk bantuan luar sentiasa komited dan bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat Semporna,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *