Covid-19: Dua Warga Asing Antara Tiga Kematian Di Sabah

KOTA KINABALU: Sabah kembali merekodkan kematian akibat jangkitan Covid-19 dengan tiga kes dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kematian itu masing-masing satu kes di Hospital Queen Elizabeth, Hospital Tawau dan Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Kesemua pesakit itu berusia antara 53 hingga 70 tahun dan ada antara mereka mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan strok. Dua daripada pesakit ini adalah bukan warganegara.

Dengan tiga kes kematian terbaru dilaporkan hari ini, ia menjadikan kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 249 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 117 kes.

Hari ini, sebanyak 466 kes positif baharu dilaporkan di Sabah daripada keseluruhan 799 kes baharu yang dilaporkan di Malaysia.

Tiga kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini iaitu kluster Rumah Merah, kluster Telipok yang merekodkan 10 kes positif dan kluster Sembulan (12).

Noor Hisham berkata, tiga kluster baharu di Sabah itu antara lapan kluster baharu dilaporkan di Malaysia. Antara kluster baharu yang lain adalah kluster Merpati, Selangor dengan 45 kes positif, kluster Astaka, Selangor (32), kluster Titian, Labuan (11), kluster Gala, Negeri Sembilan (8).

Sementara, 65 kes baharu dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan.

Tambahan kes baharu itu menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 30,889 kes. Sebanyak 10,392 kes aktif dengan 90 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 20 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Manakala, kes pulih yang dilaporkan hari ini adalah 491 kes, dengan bilangan kumulatif sebanyak 20,248 kes.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1067