Peragut Ditahan Orang Awam Di KK

Suspek ditahan orang awam berhampiran Pasar Besar Kota Kinabalu.- Foto PDRM

KOTA KINABALU: Seorang peragut menerima padah apabila ditangkap orang ramai selepas melarikan dompet milik seorang peniaga sayur berhampiran Pasar Besar Kota Kinabalu di sini, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, lelaki berusia 43 tahun ditahan dua orang awam yang kebetulan berada dekat lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebelum kejadian mangsa lelaki berusia 71 tahun berada di tepi jalan sebelum dihampiri suspek yang menawarkan ikan segar.

“Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata suspek mengikutnya dan sebaik tiba di tempat yang dimaksudkan mendapati ia bukan kedai menjual ikan.

“Mangsa yang curiga terus beredar dan suspek mengekori dari belakang sebelum meragut dompet yang disimpan dalam poket belakang seluar mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, mangsa mengejar suspek yang melarikan diri ke jeti pasar ikan sambil menjerit meminta tolong.

“Dua orang awam yang kebetulan berada di kawasan itu kemudian membantu menangkap suspek.

“Ketika melarikan diri suspek membuang dompet milik mangsa ke dalam laut selepas mengambil wang berjumlah RM500,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

4486