Polis Rampas 794 Senjata Api Tiruan Di Inanam Dan Penampang

Jauteh (tiga dari kanan) menunjukkan senjata api tiruan dirampas dalam dua serbuan berasingan di Kota Kinabalu dan Penampang. – Foto NSTP/Juwan Riduan

KOTA KINABALU: Polis merampas 794 permainan menyerupai senjata api seperti pistol, senapang dan mesingan dalam dua serbuan berasingan, semalam.

Serbuan pertama pada jam 3 petang itu, membabitkan premis di Lorong Industri Inanam Juta di sini, sebelum polis menyerbu sebuah lagi premis di Bangunan ITCC, Penampang dekat sini, selepas ia didapati menjual senjata api tiruan tanpa permit.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata lapan individu termasuk tiga wanita berusia 22 hingga 55 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, hasil dua serbuan berkenaan, polis merampas semua senjata api tiruan dianggarkan bernilai kira-kira RM16,000 termasuk cukai yang dipercayai dibawa masuk untuk dijual kepada orang awam.

“Semua barangan dirampas dipercayai diimport dari China sebagai permainan kanak-kanak sebelum dijual kepada orang ramai.

“Risikan mendapati, senjata tiruan berkenaan juga dijual secara dalam talian bermula belasan ringgit hingga RM150 setiap satu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.

Yang tuut hadir Ketua Cawangan Khas IPK Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Mohd Salleh Yahya; Pegawai Turus D9, Superintendan Zairolnizal Ishak dan Pegawai Turus D7, Alhusin Halil.

Jauteh berkata, semua senjata tiruan dirampas itu menyerupai senjata api seperti AK47, Glock dan beberapa jenis senjata lain serta berfungsi dengan menggunakan bateri cas semula.

“Semua senjata tiruan itu dibawa masuk menggunakan lesen alat permainan dan dicampur aduk dengan alat permainan lain untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Jauteh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Jauteh menegaskan kejayaan ini hasil kerjasama antara Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas IPK Sabah.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *