Covid-19: Kota Marudu Kini Zon Merah

KOTA KINABALU: Tambahan 10 kes positif baharu di Kota Marudu hari ini menjadikan daerah itu sebagai daerah ke-18 di Sabah berada dalam zon merah.

Dengan tambahan itu, kes aktif Covid-19 di Kota Marudu kini 44 kes dan bilangan kumulatif kes pula adalah sebanyak 51 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, sebanyak 410 kes baharu dilaporkan hari ini, dengan dua kes kematian terbaru.

Dua kematian terbaru dilaporkan di Hospital Tawau dan ia menjadikan bilangan kumulatif kes kematian di Sabah adalah sebanyak 107 kes.

Satu kluster baharu dilaporkan di Sabah hari ini iaitu kluster Lintas, Kota Kinabalu dengan enam kes positif.

Daripada 410 kes positif baharu Covid-19 itu, Kota Kinabalu mencatatkan 85 kes diikuti dengan Tawau (84) dan Sandakan (45).

Untuk kes di Kota Kinabalu, kluster Penjara Kepayan mempunyai 16 kes positif dan ia menjadikan bilangan kumulatif kluster ini adalah sebanyak 1,566 kes.

“Setakat ini seramai 1,955 daripada 2,686 orang banduan di Penjara Kepayan telah disaring,” katanya.

Hari ini, 20 daerah mencatatkan kes positif baharu, dengan 34 kes dilaporkan di Lahad Datu, Keningau (29), Papar (24), Tuaran (20), Kudat (16), Kota Belud (14) dan Semporna (11).

Manakala, 10 kes dilaporkan di Penampang, Putatan dan Kota Marudu. Sementara lapan kes di Kunak, Ranau (4), Kinabatanggan (2) dan masing-masing satu kes di Telupid, Beaufort, Tenom dan Sipitang.

Enam daerah lagi tidak mencatatkan sebarang kes termasuk Tongod. Daerah lain adalah Pitas, Nabawan, Tambunan, Kuala Penyu dan Beluran.

Sehingga kini, sebanyak 13,155 Covid-19 dilaporkan di Sabah, dengan 7,433 kes aktif yang sedang menerima rawatan. Manakala, seramai 367 kes pulih hari ini dan kumulatif kes yang telah pulih adalah sebanyak 5,615 kes.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *