PETALING JAYA: Seperti perniagaan lain, kedai gunting rambut turut menerima tamparan daripada krisis Covid-19 sehingga menyebabkan pendapatan merosot lebih 50% susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di sekitar Lembah Klang sejak 14 Okt lalu.
Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia, T N Winda Mohd Tahir berkata, kebanyakan kedai gunting rambut “sunyi sepi” dengan ada yang hanya mendapat 3 hingga 5 pelanggan sehari.
“Memang terasa sunyi dan penggunting rambut banyak rehat tunggu pelanggan,” katanya kepada FMT mengenai operasi kedai gunting rambut sepanjang PKPB.
PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor yang bermula 14 Okt lalu sepatutnya berakhir semalam, tetapi dilanjutkan sehingga 9 Nov kerana masih terdapat kawasan berisiko tinggi Covid-19.
Winda berkata, walaupun Majlis Keselamatan Negara membenarkan kedai gunting beroperasi 10 pagi hingga 10 malam, tetapi kebanyakan pengusaha memendekkan waktu operasi bagi mengehadkan jumlah pelanggan dan mengelakkan penularan Covid-19.
“Kedai tetap buka walaupun orang risau dan bimbang nak pergi gunting rambut.”
Katanya, SOP tetap menjadi keutamaan tukang gunting rambut bagi meneruskan kelangsungan perniagaan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pendandan Rambut Bumiputera, Bambang Sutrisno Soteto mengakui pendapatannya merosot lebih 50% sejak PKPB dilaksanakan 14 Okt lalu.
Katanya, atas faktor keselamatan, waktu operasi dipendekkan dari 10 pagi hingga 6 petang dan hanya 2 hingga 3 pelanggan dibenarkan pada satu-satu masa.
“Dulu boleh 10 orang dalam satu-satu masa.
“PKPB ini sudah tidak fikir keuntungan. Sebagai ahli perniagaan, fikir nak ‘survive’ saja.”
Katanya, harga menggunting rambut di 8 cawangan kedainya sekitar Lembah Klang juga dikekalkan kerana tindakan menaikkan harga akan menyebabkan pelanggan semakin kurang.
“Kalau naik harga, mungkin pelanggan tidak datang terus. Bila fikir balik, biar saya tanggung kos operasi dan peralatan tambahan.”
Ketika PKP mula dilaksanakan 18 Mac lalu, perkhidmatan gunting rambut dan salun kecantikan tidak dibenarkan beroperasi.
Namun, 10 Jun lalu, perkhidmatan gunting rambut, cukur misai dan jambang, solekan serta dandanan rambut, cuci muka, rawatan perapian kuku tangan dan kaki dibenarkan dengan SOP ketat.- FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost