1,566 Kes Kluster Penjara Kepayan Setakat Ini – Masidi

Masidi Manjun berkata, munasabah untuk menganggap lebih banyak kes akan dikesan dari Penjara Kepayan.

KOTA KINABALU: Jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 membabitkan kluster Penjara Kepayan setakat ini 1,566 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, angka itu termasuk 7 kes baharu yang dicatatkan hari ini.

“Setakat ini juga seramai 1,955 daripada 2,686 banduan sudah menjalani saringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Masidi berkata kluster Penjara Kepayan adalah penyumbang terbesar kepada peningkatan kes Covid-19 di Sabah terutama di Kota Kinabalu.

Kawasan Penjara Kepayan dan kuarters kakitangan jabatan itu yang terletak berhampiran juga kini diletakkan bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, beliau berkata walaupun hanya 7 kes daripada kluster Penjara Kepayan hari ini, Kota Kinabalu masih menjadi daerah tertinggi mencatat kes harian tertinggi iaitu 85 kes.

“Daripada jumlah ini, selain 7 kes daripada Penjara Kepayan, 42 kes daripada saringan kontak rapat, saringan bergejala (16), saringan kendiri (8), saringan kemasukan hospital (6) dan saringan sebelum bekerja (6).

“Tawau pula mencatat kes ke-2 tertinggi di Sabah hari ini iaitu 84 dan daripada jumlah itu, 3 kes membabitkan kluster Tanamera, saringan bergejala (13), saringan dalam komuniti (14), saringan kontak rapat (52), saringan kemasukan hospital (1) dan saringan ‘Brought In Dead’ (BID) (1 kes),” katanya.

Secara keseluruhan, Sabah mencatatkan 410 kes baharu dengan 2 kematian hari ini.

Jumlah kumulatif kes di negeri ini sebanyak 13,155 manakala 5,615 pesakit sembuh dan dibenarkan pulang. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *