WARISAN Sokong Belanjawan 2021 Sekiranya Fokus Bantu Rakyat

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) menegaskan tiada masalah untuk menyokong Belanjawan 2021 sekiranya perinciannya secara menyeluruh berfokus untuk membantu rakyat, mengatasi COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara, kata Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna itu mengambil contoh di Sabah di mana sektor perubatan dan kesihatan jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain, justeru Belanjawan 2021 perlu memberi fokus kepada menyelesaikan kekurangan itu demi manfaat rakyat Sabah.

Katanya, kerajaan perlu memastikan COVID-19 yang melanda Sabah diuruskan dengan sebaik mungkin termasuk menyediakan lebih banyak pusat kuarantin yang berdekatan dengan masyarakat demi memastikan rakyat tidak mengalami kesusahan.

“Bertepatan dengan apa kita katakan selaras seperti apa dititahkan Tuanku, Raja-raja Melayu bahawa kepentingan rakyat dan kepentingan negara itu penting bagi kita. Kalau untuk kepentingan rakyat contohnya bantuan makanan bagi meringankan bebanan, kita akan bagi sokongan,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Ahad lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen akan datang adalah amat penting kepada rakyat.

Menurut Seri Paduka, Belanjawan 2021 itu amat penting kepada rakyat dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Mohd Shafie berkata beliau juga berharap Belanjawan 2021 bukan hanya berpaksikan kepada pembangunan semata-mata tetapi turut membabitkan rakyat dan komuniti perniagaan yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Beliau berkata dengan semakin banyak syarikat yang tertekan dengan situasi ekonomi masa ini, suatu langkah perlu diambil untuk memastikan sektor ekonomi disuburkan kembali sebelum kerajaan mengenakan cukai terhadap syarikat-syarikat berkenaan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *