Kekurangan ‘Frontliner’ Masalah Terbesar Sabah Tangani Covid-19, Kata Sumber

KOTA KINABALU: Seorang petugas kesihatan di Sabah mendakwa kekurangan tenaga kerja masalah paling besar dihadapi hospital negeri itu dalam menangani wabak Covid-19.

Doktor perubatan yang enggan namanya didedahkan itu mendakwa, walaupun sejumlah jururawat dari Semenanjung dikerah ke Sabah, namun ianya masih belum dapat menyelesaikan masalah itu.

“Ya memang betul sejumlah petugas kesihatan daripada Kuala Lumpur datang ke sini minggu lalu, tetapi apabila tiba di sini mereka perlu menjalani kuarantin selama 1 atau 2 minggu lagi.

“Apabila habis kuarantin, kebanyakan mereka juga bukan boleh terus bekerja kerana yang dihantar ke sini masih ‘junior’ dan tiada pengalaman, harus diajar lagi,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau mendakwa kekurangan kakitangan hospital, terutama jururawat, menyebabkan sebahagian kakitangan sedia ada terpaksa bekerja lebih masa, sehingga ada dalam kalangan mereka menghadapi tekanan mental.

“Ada (jururawat) yang sampai menangis kerana terlebih bekerja, selain tertekan dan mungkin takut, kerana hari-hari kena menghadapi pesakit dijangkiti Covid-19. Siapa yang tidak takut?

“Mereka juga terpaksa berkorban dalam banyak hal, sudah pastinya korbankan masa dan terpaksa berasingan daripada keluarga kerana takut membawa balik penyakit (Covid-19).

“Selain itu, ada juga doktor yang menjaga ICU (unit rawatan rapi) terpaksa mengambil ubat tidur kerana terlebih kerja dan tekanan mental,” katanya.

Tak seperti digambarkan

Sementara itu, beliau bersetuju dengan kenyataan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Subramaniam Muniandy, yang mengatakan keadaan kemudahan perubatan, terutama jumlah katil di ICU, tidak seperti yang digambarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, pada sidang media hariannya.

“Ya memang betul (kenyataan Subramaniam), KP (ketua pengarah) cakap katil di ICU cukup, baru 70% digunakan tetapi mereka sebenarnya turut mengira katil-katil wad ICU di daerah-daerah lain.

“Sekiranya keadaan pesakit kritikal, mereka akan dihantar ke sini (Hospital Queen Elizabeth) juga jadi di sana (daerah lain) mana ada penuh. Ada rakan setugas saya di Keningau, Tawau, dan Sandakan mengatakan wad ICU penuh.

“Bagi saya apa yang dinyatakan oleh KP terlalu meluas dan tidak seperti gambaran sebenar di sini. Saya harap dia boleh datang untuk melihat sendiri keadaan di sini,” katanya.

Beliau berkata, walaupun keadaan yang dihadapi amat mencabar, mereka tetap melakukan segala yang terdaya bagi menangani pesakit Covid-19.

“Kami ‘berjuang’ sehingga tahap maksimum, itu belum mengambil kira kes-kes yang bukan berkaitan Covid-19 seperti penyakit kanser.

“Di seluruh Sabah, kini hanya tinggal Hospital Queen Elizabeth II (QEH II) yang menjalankan operasi merawat kanser. Hanya di sana juga pembedahan elektif dilakukan selepas semua hospital dijadikan pusat rawatan Covid-19.

“Ini pun menjadi masalah juga kerana QEH II juga kekurangan tenaga kerja. Kebanyakan jururawat dihantar untuk tangani Covid-19, peralatan-peralatan perubatan juga tidak diberi keutamaan di QEH II kerana kebanyakannya dihantar ke hospital yang menjadi pusat rawatan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga harus beri perhatian kepada QEH II kerana ia satu-satunya hospital bukan Covid-19.

“Semua pembedahan elektif daripada kepala hingga ke kaki dilakukan di sana,” dan menambah kalau kerajaan tidak jaga QEH II, beliau bimbang ianya akan terjejas teruk.

“Jadi pesakit kanser mahu ke mana?” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta yang banyak membantu pihak hospital memerangi Covid-19 di Sabah.

“Sebenarnya, banyak mesin-mesin perubatan, respirator pembersih udara berkuasa (PAPR), dan peralatan pelindungan diri (PPE) disumbangkan NGO.

“Kalau kita tunggu daripada pusat, saya tidak tahu berapa ramai yang terkorban pun masih belum sampai (kemudahan perubatan),” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *